RABU, 12 JANUARI – Satu jawatankuasa khas perlu dibentuk bagi menilai dan memantau individu yang bakal dilantik ke jawatan utama sebelum menerima tanggungjawab.
Naib Presiden BERJASA, Haji Samad Ashaari berkata, saringan secara terperinci perlu dilakukan badan khas terbabit dengan mengesahkan individu yang bakal dilantik tiada rekod buruk termasuk isu rasuah.
“Perlu selidik dan pantau keseluruhan bukan sekadar melihat kecemerlangan rekod prestasi semata-mata.
Selama ini, pelantikan jawatan-jawatan utama hanya dibuat berdasarkan kecemerlangan rekod prestasi dan juga berdasarkan senioriti sahaja tetapi soal keagamaan tidak diberikan perhatian,”
-Samad Ashaari, Naib Presiden BERJASA
Memetik ISMAWEB.Net, Samad Ashaari berkata tindakan itu penting supaya individu yang dilantik bukan sahaja memenuhi kriteria yang diperlukan tetapi mempunyai integriti yang tinggi.
Jelas pemantauan secara keseluruhan perlu dilakukan bukan sekadar melihat kecemerlangan rekod prestasi semata-mata tetapi soal agama juga dianggap perlu diberikan perhatian.
Mengulas isu rasuah yang kini seolah-olah menjadi ‘budaya’, beliau percaya ia berlaku kerana sikap tamak dan kurang integriti, selain pegangan agama yang lemah.
Katanya, perlakuan rasuah berlaku disebabkan kelemahan iman dan menganggap perkara berkenaan sebagai sesuatu yang remeh.
Justeru, beliau mencadangkan supaya diadakan kursus asas keagamaan dan silibus berkaitan integriti kepada pemimpin dan ahli politik negara.
Langkah tersebut diyakini sebagai ‘peringatan awal’ supaya tidak terdedah kepada amalan yang tidak bertanggungjawab.