Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 25 RAMADAN – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menganggap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sengaja membina tembok pemisah antara kaum apabila sengaja mempolitikkan isu pendidikan nasional.
Ketua Penerangan PERKASA, Irwan Fahmi Ideris berkata, Menteri Pengangkutan itu menafikan tanggungjawab nasional dan perbuatannya boleh menimbulkan persepsi bahawa pendidikan dipolitikkan mengikut kepentingan sesuatu kaum.
“PERKASA ingin menegaskan kepada DAP bahawa Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan bahasa Kebangsaan dalam konteks kenyataan Loke bahawa ‘urusan masyarakat Cina ada urusan DAP’ dan pendidikan Cina juga menjadi tanggungjawab parti DAP.
“Loke seharusnya merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 152 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.
“Walaupun perkara 152 membenarkan penggunaan dan pengajaran bahasa lain, Loke seharusnya sedar bahawa bahasa Melayu adalah bahasa utama yang tidak boleh dikompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Irwan berkata, sebarang usaha memperkukuhkan sistem pendidikan yang berteraskan bahasa ibunda tanpa mengutamakan bahasa Kebangsaan boleh melemahkan dasar Kebangsaan yang bertujuan untuk menyatukan rakyat di negara ini.
Katanya, kenyataan Loke yang mendakwa ‘ini adalah urusan DAP’ juga boleh mencetuskan perdebatan kerana pendidikan seharusnya menjadi tanggungjawab nasional dan bukannya tertakluk kepada mana-mana parti politik di negara ini.
“PERKASA juga menyokong dasar sekolah satu aliran iaitu sekolah Kebangsaan yang mana peranan sekolah ini ialah memperkukuhkan perpaduan antara kaum di Malaysia.
“Kewujudan sekolah vernakular merupakan tembok pemisah dan mengasingkan pelajar mengikut kaum sejak peringkat awal persekolahan yang menyumbang kepada polarisasi masyarakat.
“Sekiranya setiap kaum mengamalkan bahasa ibunda masing-masing ianya boleh melemahkan semangat kebangsaan dan menyebabkan jurang sosial semakin melebar,” ujarnya.
Tegas beliau, kerajaan digesa memperkukuhkan kedudukan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama untuk semua kaum bagi mengukuhkan perpaduan nasional.
“Apakah DAP ini sebuah parti yang hanya memperjuangkan bahasa Cina?
“Bagaimana dengan kaum-kaum lain yang ada di dalam DAP? Apakah dengan kenyataan ini jelas DAP hanya perjuangkan bangsa Cina?” soal beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi