Oleh Balqis Idris
BANGI 13 RAMADAN — Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan puasa tidak seharusnya menjadi ibadah tahunan namun perlu disertai dengan nilai integriti dalam kehidupan.
Perdana Menteri berkata disiplin puasa wajar membentuk sahsiah murni terutama dalam kalangan pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyat dan negara.
“Apa gunanya kalau kita semua bersungguh-sungguh menjalani ibadah dalam bulan Ramadan tetapi elemen dan aspek integriti diabaikan?
“Ini membawa kesan negatif kepada sesebuah organisasi, pentadbiran, sosio budaya dan juga imej negara,” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya semalam.
Kerajaan sebelum ini berdepan kritikan berhubung isu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 40 tuduhan rasuah.
Selepas dua tahun menerajui Putrajaya, kerajaan pimpinan Anwar juga dilihat gagal menyelesaikan isu campuran beras tempatan dan import.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagaimanapun menafikan dakwaan itu mendakwa insiden berkenaan wujud sejak 1970-an lagi.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi