Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 13 RAMADAN — Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menyifatkan penutupan agensi itu hanya akan menyemai ekstremisme.
Ketuanya, Philippe Lazzarini berkata dengan penutupan UNRWA ia akan melahirkan generasi muda yang mengabaikan pendidikan, lapor AFP.
“Jika itu berlaku, kita pasti mengorbankan generasi kanak-kanak yang akan terhalang daripada mendapat pendidikan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata dengan situasi kewangan yang semakin membimbangkan, UNRWA berada di ambang keruntuhan dan kehancuran.
Katanya, UNRWA sebelum ini berperanan sebagai talian hayat bagi pelarian Palestin bagi menyediakan keperluan penting seperti pendidikan dan kesihatan.
“Saya tidak nampak mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau agensi PBB lain tiba-tiba mampu mengambil alih penyediaan perkhidmatan awam seperti ini.
“Kami menyediakan perkhidmatan seperti kerajaan,” katanya.
Lazzarini mengulas kenyataan Israel yang mendakwa peranan UNRWA boleh digantikan agensi PBB lain atau NGO yang setara.
Katanya, UNRWA memainkan peranan jauh lebih luas dan bukan sekadar membawa trak masuk ke Gaza bagi menangani krisis kemanusiaan.
“Jika 100,000 kanak-kanak di Gaza tidak mendapat pendidikan dan sekolah mereka hanya runtuhan, saya boleh katakan kita sedang menyemai benih ekstremisme,” katanya.
Israel awal tahun ini mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan UNRWA dan mengharamkan operasinya di wilayah Israel.
UNRWA bagaimanapun berkeras untuk meneruskan operasinya di Gaza dan Tebing Barat dengan tidak mendapat kerjasama pegawai Israel.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi