BANGI, 10 RAMADAN – Diskriminasi dan serangan terhadap komuniti Muslim dan Arab di Amerika Syarikat meningkat sebanyak 7.4% pada tahun lepas, demikian menurut Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR).
Kenaikan itu dikaitkan dengan peningkatan sentimen Islamofobia ekoran peperangan Israel di Gaza.
Menurut CAIR, pihaknya menerima sebanyak 8,658 aduan anti-Islam dan anti-Arab pada 2024, angka tertinggi sejak data itu disiarkan dalam 1996.
Katanya, kebanyakan aduan direkodkan membabitkan diskriminasi di tempat kerja yang merangkumi 15.4% diikuti dengan isu imigresen dan suaka (14.8%), diskriminasi pendidikan (9.8%) dan 7.5% melibatkan jenayah kebencian.
“Genosid di Gaza yang disokong Amerika Syarikat telah menghasilkan gelombang Islamofobia di negara ini,” katanya.
Laporan Hak Sivil itu dikeluarkan selepas barisan juri mendapati seorang lelaki bersalah atas jenayah kebencian apabila menikam kanak-kanak lelaki warga Amerika-Palestin sehingga mati.
Kes itu adalah salah satu daripada insiden yang berlaku pada akhir 2023 termasuk cubaan untuk melemaskan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Texas dan kes tembak tiga pelajar Palestin di Vermont selain kes tembak di Florida. – Al Jazeera
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi