ISNIN, 3 JANUARI – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat bahaya, buruk dan waspada yang dijangka berlaku di kebanyakan negeri sehingga Selasa ini (4 Januari).
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan negeri-negeri itu adalah Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Amaran hujan sangat lebat berterusan peringkat bahaya diramalkan di Johor membabitkan Daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru hari ini.
Amaran hujan lebat berterusan (buruk) pula dijangka berlaku di Pahang melibatkan Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, selain seluruh Negeri Sembilan dan Melaka sehingga hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, hujan berterusan (waspada) dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang melibatkan Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh, manakala di Sabah pula melibatkan Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud) dan Sandakan (Kinabatangan) sehingga Selasa.
Di Johor mangsa banjir terus melonjak kepada 1,827 mangsa membabitkan 466 keluarga, yang ditempatkan di 31 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat petang tadi.
Ia berbanding 1,646 mangsa daripada 425 keluarga, yang ditempatkan di 28 PPS, awal pagi tadi
Segamat menjadi daerah paling terjejas banjir di negeri itu, dengan mangsa banjir melonjak kepada 1,771 orang daripada 452 keluarga, yang ditempatkan di 30 PPS, berbanding 1,615 mangsa daripada 418 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS, pada waktu pagi.
Semantara itu, Selain Johor bilangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah, Pahang, Melaka, dan Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan petang tadi manakala Kelantan dan Terengganu menunjukkan penurunan.
Di Sabah jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 1,161 orang daripada 399 keluarga pada tengah hari berbanding 717 orang daripada 212 keluarga pagi tadi.
Manakala Pahang, jumlah mangsa banjir gelombang kedua meningkat tengah hari tadi, kepada 986 orang berbanding 649 orang pagi pada 2 januari, dengan jumlah keseluruhan PPS beroperasi setakat ini sebanyak 38 buah.