Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 10 RAMADAN — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan rombongan pondok dan madrasah dari Kelantan di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri berkata tuan guru institusi itu menggesa Anwar bersungguh-sungguh dalam memberi penjelasan ikhtiar kerajaan mengenai Islam.
“Titipan nasihat tuan guru terkait usaha memperteguh semangat memupuk kefahaman, kasih sayang dan memadamkan kebencian.
“Selain sabar dalam gesaan agar penjelasan bersungguh-sungguh mengenai ikhtiar kerajaan kepada rakyat mengenai Islam,” katanya.
Tunku Nashrul Abaidah berkata demikian menerusi taklimat harian yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Perdana Menteri.
Katanya, rombongan berkenaan diundang sendiri oleh Perdana Menteri ke PMO selepas menghadiri upacara berbuka puasa di Putrajaya semalam.
“Perdana Menteri menghargai pandangan tuan guru yang menyampaikan nasihat khusus dalam soal pendidikan thurath serta idea memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia.
“Mereka bersetuju banyak perkara yang boleh disepakati khususnya dalam isu Islam berbanding membesarkan perbezaan,” katanya.
Tunku Nashrul minggu lalu menafikan kerajaan berat sebelah dalam mengambil tindakan terhadap pihak yang mencetuskan isu perkauman dan agama.
Katanya, dakwaan berkenaan adalah usaha jahat yang diwujudkan sesetengah pihak bagi menanam persepsi buruk dalam kalangan masyarakat.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi