Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 6 RAMADAN — Penerbit video Trump Gaza mendakwa apa yang cuba ditonjolkan hanyalah satu satira politik dan bukan alat propaganda Presiden Amerika Syarikat (AS).
Pembikin filem, Solo Avital yang menetap di Los Angeles berkata video berkenaan dihasilkan dengan bantuan kecerdasan buatan (AI), lapor The Guardian.
“Kami pembikin filem dan bukan pencetus provokasi. Adakalanya kami menghasilkan satira seperti ini. Bergantung kepada konteks yang menjadikannya gurauan.
“Tiada konteks pada video itu dan ia dikongsi tanpa kebenaran dan pengetahuan kami,” katanya yang menerbitkan video itu awal bulan lalu.
Video 33 saat Trump Gaza mengundang kontroversi selepas ia dikongsikan Donald Trump menerusi aplikasi media sosialnya, Truth Social.
Gambaran Trump itu mendapat kecaman ramai selepas ia bagai mengiyakan rancangan Presiden AS tersebut untuk membangunkan semula Gaza.
Trump dalam perancangannya mahu mengusir rakyat Gaza ke Mesir dan Jordan bagi membangunkan wilayah itu sebagai pantai peranginan.
Negara-negara Arab bagaimanapun tampil dengan pelan alternatif yang diketuai Mesir dengan rancangan pembangunan tanpa mengusir rakyat Palestin.
Avital berkata video berkenaan tidak diterbitkan untuk Trump dan ia sekadar eksperimen bersama aplikasi AI.
Katanya, video berkenaan hanya dikongsikan bersama rakan-rakan dan rakan kongsi perniagaan yang kemudiannya dimuat naik di Instagram.
“Menyaksikan Trump Gaza, ada yang suka. Ia beribu kali lebih baik berbanding sekarang. Tetapi bukan niat kami menjadi alat propaganda,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi