Oleh Balqis Idris
BANGI, 6 RAMADAN — Ahli Parlimen DAP menyelar hasutan seorang warga maya yang menyebarkan fitnah terhadap parti politik itu.
Syahredzan Johan berkata kiriman nukilan Ibrahim Ani itu mengandungi tuduhan tidak berasas dan berpotensi mengundang perpecahan rakyat.
“Tanpa segan silu. Kirimannya bukan hanya membuat tuduhan liar kepada parti saya, tetapi juga mengancam ketenteraman awam.
“Kirimannya juga sudah mendapat 2,300 perkongsian setakat ini dan lebih 900 reaksi,” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini.
Syahredzan mengulas kiriman Ibrahim menggesa undi pada pilihan raya akan datang tidak diberikan kepada pemimpin Islam membela golongan kafir.
Ibrahim berkata pemimpin yang berbohong dan memungkiri janji tidak perlu dipilih lagi dalam pilihan raya akan datang.
Warga maya itu kemudiannya berkongsi dakyah pelan DAP mendakwa parti itu akan menjadikan Malaysia sebuah negara republik dan Islam bukan lagi agama rasmi.
Pelan itu juga kononnya merancang ketua negeri bukan daripada orang Melayu dan rancangan untuk menghapuskan sistem raja berperlembagaan.
Syahredzan berkata tindakan tegas perlu diambil bagi mengekang penyebaran berita palsu yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
“Memang tidak memeranjatkan penyokong Perikatan Nasional (PN) ini tidak segan silu menabur fitnah. Dia belajar daripada pemimpin parti yang diikutinya.
“Apapun, saya akan buat laporan ke pihak berwajib terhadap Ibrahim ini. Kerana pulut, santan binasa. Kerana mulut, badan binasa. Kerana jari? Fikirkanlah,” katanya.
Semakan TV Pertiwi mendapati hantaran tersebut sudah dipadamkan dan akaun berkenaan sudah tidak dapat diakses.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi