Oleh: Azzman Jamal
BANGI, 12 RAMADAN – UMNO tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempertikai, meremeh atau mencabar asas penting teras kestabilan negara negara, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata, ini terutamanya melibatkan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, keistimewaan Melayu-Bumiputera tanpa sesekali menafikan hak kebebasan beragama dan budaya yang dijamin Perlembagaan.
Katanya, UMNO memandang serius perkembangan semasa yang melibatkan isu-isu berkaitan sensitiviti keagamaan, perkauman dan Institusi Raja-Raja Melayu hingga mencetuskan kegelisahan dan ketidaktentraman dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.
“UMNO menyeru supaya seluruh rakyat Malaysia kekal mempertahankan Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan sebagai asas penting yang membina negara bangsa sejak merdeka.
“Keindukan Islam dan Melayu-Bumiputera dalam sifat kemajmukan Malaysia mesti terus dipelihara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam perkembangan lain, Asyraf berkata, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung semalam memutuskan untuk menggerakkan jentera dari seluruh negara bagi membantu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak akan datang.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April depan.
Selain itu, Asyraf berkata, Mesyuarat MKT UMNO juga memutuskan tarikh Perhimpunan Agung UMNO pada 20 hingga 23 Ogos manakala Persidangan UMNO Cawangan ditetapkan pada 7 April hingga 25 Mei dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 9 Jun hingga 27 Julai depan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi