Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 28 Rejab — Parlimen Mesir menolak cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mahu memindahkan sebahagian rakyat Gaza ke negara itu.
Ketuanya, Hanafi Gebali berkata cadangan Trump itu satu ancaman serius yang mampu merubah landskap geopolilitik Timur Tengah, lapor BERNAMA.
“Kita tidak boleh mengabaikan bahaya besar yang akan ditimbulkan oleh saranan mengenai pemindahan penduduk Palestin dari tanah air mereka.
“Idea sebegitu mengabaikan fakta bahawa masalah Palestin bukan hanya mengenai penduduk atau pertikaian geografi, tetapi perjuangan sebuah bangsa untuk mendapatkan hak yang sah.
“Rakyat Palestin bukan sekadar mencari perlindungan. Mereka bangsa yang kaya dengan sejarah, tanah yang suci dan hak yang tidak dapat dihapuskan oleh waktu,” katanya.
Trump minggu lalu bercadang mahu memindahkan rakyat Gaza selepas menyifatkan wilayah itu mengalami kemusnahan teruk dibedil Zionis.
Katanya, cadangan itu sudah disuarakan kepada Raja Jordan, Raja Abdullah selepas melihat kemusnahan teruk di Gaza.
“Saya mahu Mesir dan Jordan mengambil rakyat Gaza,” katanya kepada pemberita.
Trump membayangkan cadangan pemindahan itu mungkin bersifat kekal atau sementara yang mendapat sokongan penuh puak kanan Israel.
Hanafi berkata setiap rancangan yang mengenepikan hak rakyat Palestin akan menimbulkan ancaman serius terhadap keamanan dan kestabilan serantau.
“Mereka tidak akan pernah menyerahkan hak-hak tersebut. Begitu juga bangsa Arab yang menyokong mereka.
“Mesir sudah menabur benih perdamaian di rantau ini selama bertahun-tahun dan menegaskan kami akan terus membela hak rakyat Palestin dengan tegas.
“Kami menolak sebarang percubaan untuk menafikan hak Palestin atau melanggar hak bangsa yang besar itu,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: