Oleh Wartawan TV Pertiwi
Perwakilan Tetap Syria ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa Arab Saudi merupakan negara Arab paling kuat menyokong pembangunan semula Syria.
Qusay Al-Dahhak berkata sokongan itu ditunjukkan selepas Hayat Tahrir Al-Sham (HTS) berjaya menggulingkan bekas presiden, Bashar Al-Assad, lapor Arab News.
“Sokongan terkuat datangnya dari negara-negara Arab, terutama dari Arab Saudi. Kami menerima banyak mesej sokongan yang menunjukkan sokongan mereka kepada rakyat Syria.
“Begitu juga penolakan terhadap segala bentuk pencerobohan Israel terhadap tanah dan rakyatnya,” katanya dalam satu wawancara yang disiarkan Selasa lalu.
Assad digulingkan minggu lalu selepas HTS berjaya menguasai bandar-bandar utama di Syria seperti Damsyik dan Aleppo.
Serangan pantas HTS berjaya mengakhiri pemerintahan Assad dan keluarganya sejak 50 tahun lalu dengan tahanan yang dipenjara sekian lama dibebaskan.
Qusay berkata pemerintahan baharu Syria tidak akan menindas kelompok minoriti selepas era Assad yang menentang perbezaan pandangan.
“Perwakilan Syria bekerja keras untuk membela kepentingan rakyat dan mematuhi semua perintah kerajaan dari Damsyik.
“Perdana Menteri Mohammad Al-Bashir memerintahkan kedutaan besar dan diplomat Syria untuk melindungi kepentingan negara.
“Di PBB, kami menyampaikan pesan bahawa Syria saat ini sedang dalam perubahan dan pembentukan kerajaan baharu,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI