Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 17 RAMADAN — Mesir semalam mencadangkan pasukan pengaman digerakkan ke Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dalam usaha menubuhkan negara Palestin yang merdeka.
Menteri Luarnya, Badr Abdelatty melontarkan cadangan itu semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) di Kaherah, lapor Anadolu.
“Terdapat cadangan untuk UNSC mengkaji penempatan pasukan pengaman antarabangsa di Gaza dan Tebing Barat.
“Ini akan dilaksanakan melalui penerimaan resolusi UNSC bagi mengerahkan pasukan pengaman atau perlindungan antarabangsa.
“Mereka akan diberi mandat dan kuasa yang jelas mengikut jadual khusus bagi menjamin penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang disiarkan Kementerian Luar Mesir dengan tidak memperincikan butiran lanjut.
Cadangan itu selari dengan apa yang diputuskan Sidang Kemuncak Tergempar Arab pada 4 Mac lalu untuk menempatkan pasukan pengaman di Gaza dan Tebing Barat.
Abdelatty berkata cadangan negara Arab untuk membangunkan semula Gaza mendapat sokongan penuh di peringkat serantau dan antarabangsa.
Katanya, pelan yang akan mengekalkan penduduk Gaza itu mematuhi perjanjian gencatan senjata dalam usaha membangunkan wilayah tersebut.
“Semua usaha itu dilakukan dengan memastikan ia terus berada di bawah kawalan rakyat Palestin dan menganggap Gaza sebagai sebahagian daripada wilayah Palestin,” katanya.
Beliau berkata Mesir dan Jordan juga sudah mula melatih pegawai polis Palestin sebagai persediaan untuk penempatan mereka di Gaza.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi