Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 21 Rejab — Wakil Turkiye ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Israel segera meninggalkan wilayah Gaza.
Asli Guven berkata dengan tiada lagi kawalan tentera penjajah Israel (IOF) di kawasan itu, bantuan kemanusiaan akan lebih banyak memasuki Gaza, lapor Anadolu.
“Sekarang gencatan senjata walau sudah lama tertangguh memberi sedikit harapan. Penting untuk memastikan pelaksanaan penuh perjanjian gencatan senjata.
“Jadikan ia kekal dan kirim bantuan kemanusiaan segera masuk ke Gaza. Gaza mesti menerima bantuan dan perubatan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di sesi Majlis Keselamatan PBB untuk Timur Tengah dalam menegaskan kepentingan bantuan kemanusiaan segera memasuki Gaza.
Katanya, rang undang-undang Israel yang cuba menghalang Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
“UNRWA memainkan peranan utama. Usaha Israel menyekat UNRWA akan menjadi duluan berbahaya kepada PBB dalam hubungan pelbagai hala,” katanya.
Sehubungan itu, Guven berkata isu utama dalam konflik Palestin perlu diselesaikan iaitu penjajahan Israel dan mengiktiraf Palestin sebagai anggota penuh PBB.
Katanya, penjenayah yang melakukan genosida sepanjang 15 bulan lalu perlu dihukum bagi memberi keadilan terhadap mangsa perang.
“Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan Palestin berdasarkan sempadan 1976 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara mampu merintis keamanan.
“Penyeksaan, kematian orang awam dan serangan terhadap sukarelawan sejak 15 bulan lalu harus dituntut bela.
“Hanya dengan mengenal pasti punca, kita dapat mengakhiri penderitaan dan keamanan berkekalan di Timur Tengah,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: