Oleh Wartawan TV Pertiwi
Ketua Polis Negara memaklumkan dua rakyat Malaysia yang ditahan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo, Cuba sejak 18 tahun lepas akan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.
Tan Sri Razarudin Husain berkata bagaimanapun Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep akan menjalani proses pemulihan terlebih dahulu, lapor BERNAMA.
“Kedua-dua individu ini diterima dalam keadaan baik dan sihat. Mereka sangat bersyukur dapat kembali ke tanah air dan akhirnya pulang ke pangkuan keluarga.
“Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengarahkan supaya mereka menjalani proses penilaian dan seterusnya memasuki fasa pemulihan secara komprehensif.
“Semua orang berhak mempunyai peluang kedua dan polis akan memastikan mereka berjaya mencapai peluang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menteri Dalam Negeri memaklumkan Amerika Syarikat (AS) semalam menyerahkan kembali Farik dan Nazir yang ditahan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo sejak 2006.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata mereka ditahan di kem berkenaan atas dakwaan terbabit dalam kumpulan militan Jemaah Islamiah dan Al-Qaeda sejak 2003.
Farik dan Nazir berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera AS ekoran insiden pengeboman di Bali, Indonesia pada Oktober 2002.
Mereka juga didakwa terlibat dalam insiden pengeboman kawasan Hotel JW Marriott, Jakarta pada Ogos 2003 yang melibatkan mangsa korban keseluruhan seramai 202 orang.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI