Pendidikan seks kena ada roh agama, dapat kekang masalah zina dan hamil luar nikah

Oleh: Wartawan TV Pertiwi 

 

BANGI, Selasa – Pendidikan Seksualiti perlu mempunyai roh penghayatan agama dan tidak berpusat pada aspek biologi mahupun pencegahan secara fizikal semata-mata dalam mengekang kancah zina dan hamil luar nikah di Malaysia. 

 

Menurut Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA, Dr Siti Sarah Amran, kes kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja di Malaysia kini berada di tahap yang amat membimbangkan apabila ia sudah mencecah angka 17,646 dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. 

 

Sarah Amran berkata, pendidikan seksualiti menerusi  penghayatan agama akan mengajarkan golongan remaja khususnya bahawa tubuh badan adalah amanah dan perbuatan zina merupakan dosa besar yang wajib dijauhi. 

 

Beliau yang juga panel penggubal ReproAlert! menjelaskan, konsep pendidikan seksualiti dalam Islam telah lama diterapkan menerusi adab dan peraturan yang ditanam sejak anak-anak masih kecil. 

 

Sebagai contoh katanya,  konsep aurat, adab meminta izin ketika ingin masuk bilik ibu bapa, pengasingan tempat tidur, konsep siapa mahram dan bukan mahram, menjaga pandangan dan banyak lagi. 

 

Justeru, beliau berkata, adab-adab berkenaan secara tidak langsung dapat mengingatkan golongan remaja bahawa kehormatan diri dan batasan dalam pergaulan adalah cerminan iman dan ketaatan kepada tuhan. 

 

“Isu utama dalam masalah kehamilan luar nikah ini adalah zina itu sendiri. Fokus kita tidak boleh hanya pada perkahwinan bawah umur, kerana walaupun isu ini wujud, perkahwinan yang sah tetap berlandaskan tuntutan agama,

 

“Perkahwinan bawah umur di kawasan pedalaman, misalnya, mungkin berlaku atas faktor lain dan perlu dibincangkan secara terpisah,” katanya seperti dipetik laporan MalaysiaKini. 

 

Tegas beliau, zina turut disifatkan sebagai barah yang semakin mengakar dan tidak boleh diatasi dengan hanya pendekatan Barat yang berfokus pada pencegahan fizikal tanpa memberi perhatian kepada aspek spiritual dan moral. 

 

“Kita memerlukan pendidikan yang menanamkan rasa takut kepada dosa, serta mengimani bahawa Allah sentiasa melihat,

 

“Pendekatan ini jauh lebih kukuh untuk menanam kesedaran dan penghayatan dalam menghindari zina,” ujarnya. 

 

Bagi mengekang gejala zina sepenuhnya di negara ini, beliau menggesa kerajaan untuk membentuk satu kerjasama bersepadu antara badan agama dalam merangka dasar yang selari dengan nilai agama dan budaya. 

 

Tambahnya, kerajaan turut perlu menentukan sasaran golongan yang jelas dan bukannya sekadar mengumpulkan data tanpa ada pelan intervensi yang serius. 

 

Beliau turut memaklumkan peranan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sokongan masyarakat juga penting sebagai pelengkap kepada usaha kementerian bersama badan agama. 

 

Misalnya, inisiatif yang dilakukan oleh Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) melalui ReproAlert! Dengan menghubungkan aspek perubatan bersama nilai-nilai agama Islam. 

 

“Ini adalah usaha dalam membantu mendidik remaja tentang kesedaran seksualiti dan reproduktif yang berlandaskan agama dan budaya, tetapi ia juga memerlukan sokongan masyarakat dan pelbagai pihak,” 

 

Sumber: Malaysiakini 

 

 IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Lebih 2.7 juta peminjam patut mula bayar balik pinjaman PTPTN – Menteri

Next Post

Peguam terkilan Yusoff Rawther direman tempat banduan akhir

Related Posts