ISNIN, 29 NOVEMBER – Dalam pada itu satu kes positif COVID-19 dikesan pada hari pertama Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kes positif itu dikesan menerusi saringan yang dijalankan di pintu masuk Malaysia pagi tadi.
Beliau berkata, tindakan cepat dan pantas sedemikian penting bagi memastikan penularan jangkitan, termasuk daripada risiko varian baharu, omicron berupaya ditangani sepenuhnya.
Jelasnya, walaupun mereka yang masuk menerusi VTL dikehendaki membuat saringan 72 jam sebelum hari perjalanan, tetapi ia masih membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan.
Justeru kementerian tegas untuk tetap melaksanakan saringan apabila mereka tiba di pintu masuk negara.
Tambah Khairy kes pertama itu dikesan menerusi saringan kit ujian pantas (RTK) antigen ketika individu berkenaan tiba di pintu masuk utama antarabangsa Tambak Johor.
Sehubungan itu, katanya, pengesahan diagnostik bersandarkan (RT PCR) sedang dilakukan, selain penilaian risiko terhadap penumpang bas terbabit.