Oleh Kamil Awang
Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan mengalu-alukan peruntukan RM50 juta untuk pembangunan ilmu dan persuratan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam Belanjawan 2025.
Bekas Ketua Pengarah dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP itu berkata peruntukan perlu dimanfaatkan sebaiknya melalui kerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan.
“Peruntukan RM50 juta untuk penerbitan karya ilmu dan persuratan suatu lonjakan untuk perhatian lebih besar kepada bidang ilmu dan persuratan negara.
“Manfaatkan sebaik-baiknya peruntukan itu melalui penyelarasan DBP dengan institusi lain seperti Majlis Penerbitan Ilmiah, Yayasan Pembangunan Buku Negara, Yayasan Karyawan Malaysia dan ITBM.
“Selain itu, Dana Penggerak Industri Buku Negara yang diamanahkan kepada DBP untuk membantu penerbit-penerbit kecil perlu ditingkatkan jumlahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TV Pertiwi apabila diminta mengulas Belanjawan 2025.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan DBP menerima peruntukan RM50 juta.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu meliputi bidang bahasa dan kesusasteraan sebagai pendedahan kepada generasi muda.
Katanya, ia termasuk mengalih bahasa karya-karya agung, penganjuran teater serta memelihara bahasa kaum-kaum minoriti seperti etnik Siam.
Awang berkata DBP perlu mempunyai perancangan strategik untuk memperkaya khazanah ilmu dan persuratan negara dalam bahasa Melayu.
“Strategi sejak lebih dua dekad yang saya cadangkan ialah Penerbitan Berpakej, iaitu pakej yang mewakili semua ilmu untuk pembangunan negara, tidak kira ilmu keagamaan, kemanusiaan mahupun ilmu sains dan teknologi.
“Penerbitan berpakej seterusnya ialah penyusunan dan penerbitan buku menurut kumpulan sasaran seperti sarjana, orang awam, remaja dan kanak-kanak,” katanya.
Beliau menggesa ilmu dan sastera diluaskan melalui semua kelompok pembaca sasaran dengan pelbagai bentuk terbitan turunan yang sesuai dengan kelompok.
Katanya, karya ilmiah atau dalam bentuk konvensional perlu disokong dengan penerbitan karya umum dan terbitan lain yang kreatif.
“Antaranya terbitan dalam gaya jurnalistik moden, animasi, komik, lakon layar, teater dan bahan dalam aplikasi peranti yang ada nilai ilmu.
“Pada peringkat ini, isu cukup atau tidak, perlu ditinggalkan dahulu. Yang penting kaedah memanfaatkan peruntukan itu,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI