Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Isnin – Ketua Pembangkang mengingatkan kerajaan supaya tidak menjadi kerajaan ‘lembu kenyang’ dan mendengar rintihan rakyat yang semakin dihimpit dengan masalah kos sara hidup.
Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, meskipun kerajaan mengumumkan pelbagai data ekonomi yang baik, namun realitinya rakyat masih bergelut dengan situasi semasa.
Katanya, setiap kali Belanjawan dibentangkan, rakyat mengharapkan kos sara hidup rendah, pekerjaan dan peluang ekonomi, kesihatan dan pendidikan berkualiti, perumahan mampu milik serta jaminan sosial yang kuat dan kemudahan infrastruktur yang lebih baik.
“Ramai dalam kalangan isi keluarga terhimpit dengan masalah kos sara hidup. Apakah menteri-menteri terutama (Ahli Parlimen) Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim), tidak sedar akan isu ini?
“Rakyat mahu melihat pengekalan atau peningkatan subsidi ke atas barangan asas seperti beras, tepung dan bahan api. Rakyat mahu kawalan harga lebih ketat bagi mengelakkan manipulasi harga dan rakyat mahukan program bantuan tunai diperluaskan kepada mereka yang memerlukan.
“Dengarlah suara rakyat. Dengarlah rintihan rakyat. Jangan jadi kerajaan yang dipanggil sebagai kerajaan lembu kenyang,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat hari ini.
Justeru, Hamzah mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu bangga dengan data-data ekonomi seperti data inflasi 1.9% kerana rakyat hanya mahukan tindakan segera yang akan memanfaatkan mereka secara langsung.
Malah katanya, selain rakyat, pemain industri dan pelabur luar negara juga meletakkan harapan tinggi terhadap Belanjawan yang dibentangkan pada Jumaat lepas.
“Bagilah apa saja bantuan kepada rakyat, kami sokong. Bagilah yang sebaik mungkin, jangan dizalimi rakyat di bawah sana. Janganlah kita bangga dengan angka-angka yang tidak menyantuni rakyat.
“Berikan beberapa insentif, geran dan pembiayaan mencukupi kepada mereka (pemain industri). Bangunkan infrastruktur dan ekosistem perniagaan yang kondusif dan kami di pihak pembangkang akan menyokong demi masa depan negara yang lebih baik,” ujarnya.
Tambah beliau, langkah-langkah itu akan memberikan keyakinan bukan sahaja dari dalam negara tetapi juga pelabur luar yang berpotensi memberi manfaat kepada Malaysia.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI