RABU, 8 DISEMBER – PUTRAJAYA – Mahkamah rayuan hari ini mengekalkan sabitan bersalah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sendirian Berhad.
Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar. Berikut adalah kronologi kes :
3 Julai 2018
Pada 3 Julai 2018, Najib ditahan Pasukan Petugas Khas 1MDB, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, sekitar jam 3 petang dan dibawa ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
4 Julai 2018
Keesokannya Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
8 Ogos 2018
Pada tarikah ini Najib didakwa lagi di mahkamah yang sama dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.
10 Ogos 2018
Dua hari kemudian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 33 hari bermula 12 Februari 2019 bagi perbicaraan tujuh tuduhan terbabit.
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan perintah larangan supaya media dan orang awam tidak membicarakan mengenai merit kesnya.
13 Ogos 2018
PAda 13 Ogos 2018, Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak untuk mengeluarkan perintah melarang media dan orang awam daripada menerbitkan kenyataan berhubung merit kesnya.
26 November 2018
Pasukan pembelaan memfailkan permohonan supaya Datuk Sulaiman Abdullah mengemukakan surat kebenaran pelantikan beliau sebagai ketua pendakwaan dalam kes Najib.
18 Disember 2018
Mahkamah Tinggi sama menolak permohonan Najib berhubung surat pelantikan itu.
15 Januari 2019
Najib menerusi firma guamannya Messrs Shafee and Co telah menulis surat kepada Mahkamah Tinggi memohon agar perbicaraan yang dijadualkan pada 12 Februari dilapangkan sementara menunggu tiga rayuan interlokutorinya di Mahkamah Rayuan.
17 Januari 2019
Jabatan Peguam Negara membantah permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan.
8 Februari 2019
Najib memfailkan permohonan penangguhan perbicaraan kes SRC.
11 Februari 2019
Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk tangguh perbicaraan kes.
21 Mac 2019
Mahkamah Rayuan menolak tiga daripada empat rayuan interlokutori Najib, benarkan permohonan tangguhkan bicara.
27 Mac 2019
Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib menangguhkan perbicaraan.
28 Mac 2019
Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan kes pada 3 April.
3 April 2019
Perbicaraan bermula selama 58 hari.
11 November 2019
Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tuduhan itu.
3 Disember 2019
Najib membela diri dan 18 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan, prosiding selama 33 hari.
11 Mac 2020
Pembelaan menutup kes.
1 Jun 2020
Hujahan di akhir kes pembelaan selama 5 hari.
5 Jun 2020
Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Julai bagi keputusan.
28 Julai 2020
Pada tarikh ini Mahkamah Tinggi mendapati `Najib bersalah ke atas semua pertuduhan dan memerintahkan menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.’
30 Julai 2020
Najib kemudian memfailkan tiga notis rayuan untuk mengetepikan sabitan hukuman penjara 12 tahun yang berjalan serentak dan denda RM210 juta atas kesemua pertuduhan.
2 Disember 2020
Najib mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara kes itu.
23 Januari 2021
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd. Nazlan Mohd Ghazali yang sebelum ini mendengar kes dan menjatuhkan hukuman terhadap Najib dalam kes SRC dipindahkan ke Mahkamah Sivil bermula Mac.
5 April 2021
Prosiding rayuan bermula.
18 Mei 2021
Prosiding rayuan kes penyelewengan dana SRC selesai selepas 15 hari perbicaraan berlangsung.
23 November 2021
Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember untuk keputusan rayuan kes.
24 November 2021
Pasukan peguam Najib yang diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon penangguhan tarikh keputusan kerana bekas Perdana Menteri itu perlu menjalani kuarantin di rumah sekembalinya dari Singapura.
24 November 2021
Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan tarikh keputusan kes.
3 Disember 2021
Permohonan Najib untuk membenarkan bukti baru dikemukakan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman kes akan didengar sehari sebelum Mahkamah Rayuan menyampaikan keputusannya.
7 Disember 2021
Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya.
8 Disember 2021
Mahkamah Rayuan menetapkan sabitan dan hukuman Najib kekal. Najib bincang pasukan Peguambela rayu ke Mahkamah Persekutuan.