BANGI, 14 RAMADAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, perbuatan memijak al-Quran bukan sahaja tindakan biadab, malah ia adalah penghinaan yang mengguris hati umat Islam serta menggugat keharmonian masyarakat yang dibina atas asas saling menghormati.
“Apabila Al-Quran dipijak, maka yang tercemar bukan sekadar kertasnya, tetapi kesucian wahyu dan maruah umat.
“Dalam hal ini, saya menegaskan bahawa apabila Al-Quran dipijak, diam bukanlah satu pilihan,” titah Baginda.
Justeru, baginda menegaskan bahawa berdiam diri ketika agama dihina adalah tanda lemahnya jiwa dan pudarnya maruah.
Namun, Baginda mengingatkan bahawa mempertahankan kesucian agama tidak boleh dilakukan secara melulu atau mengikut emosi.
“Islam menuntut ketegasan, tetapi dalam lingkungan keadilan. Kita tidak boleh membiarkan penghinaan berlaku, namun kita juga tidak boleh membalas dengan tindakan yang meruntuhkan keamanan.
“Jika emosi menguasai akal, semua pihak akan rugi,” titah Baginda memetik portal rasmi Istana Pahang.
Sultan Abdullah memetik kata-kata tokoh ulama tersohor, Buya Hamka, bahawa ungkapan “Jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kapan” bukanlah seruan untuk bertindak ganas, sebaliknya merupakan peringatan tentang tanggungjawab moral setiap Muslim dalam mempertahankan maruah agama.
Baginda menegaskan bahawa sebarang penghinaan terhadap Islam mesti ditangani dengan tegas dan tanpa kompromi mengikut lunas undang-undang.
“Kebebasan bersuara bukanlah alasan untuk menghina agama. Biar mati anak, jangan mati adat. Dan adat yang paling utama dalam negeri ini ialah menghormati agama sebagai tunjang kehidupan,” titah Baginda.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi