BANGI, 3 RABIULAWAL – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan pihak pengurusan sekolah khususnya Pengetua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tidak boleh sekali-kali mengambil mudah isu buli sehingga menjejaskan keselamatan pelajar.
“Saya sudah tegaskan banyak kali kepada semua Pengetua MRSM, jangan sesekali pandang mudah isu buli.
“Jangan sesekali sembunyikan isu buli dek nak jaga reputasi. Jika ada yang mengadu dibuli wajib siasat dan bertindak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau mengingatkan ibu bapa supaya peka dengan perkembangan anak-anak mereka dan segera mengambil tindakan sekiranya terdapat tanda-tanda menjadi mangsa buli.
“Ibu bapa mesti cakna dengan perkembangan anak-anak. Jika tiba-tiba murung kena siasat takut-takut jadi mangsa buli.
“Buat aduan pada Pengetua. Jika tiada tindakan diambil, boleh buat tindakan perundangan. Wajib putuskan rantaian buli,” katanya.
Menurutnya, ibu bapa juga berhak membuat laporan polis malah mengambil tindakan mahkamah terhadap mana-mana pihak yang cuba menyembunyikan kes atau tidak mempedulikan aduan berhubung insiden buli.
“Ibu bapa berhak membuat laporan polis hatta mengambil tindakan mahkamah menyaman mana-mana pihak yang menyembunyikan mahupun tidak mempedulikan anak-anak mereka dibuli.
“Sudah ada kes yang berkaitan di Mahkamah Persekutuan yang boleh dijadikan kes sandaran (precedent case),” jelasnya.
Tambah beliau, MARA akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak pengurusan MRSM atau mana-mana Institusi Pendidikan MARA yang didapati sengaja tidak mempedulikan laporan ibubapa mengenai kes-kes buli yang berlaku.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi