Integriti dan kebebasan SPRM di persimpangan jalan

BANGI, 8 RAMADAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diamanahkan untuk memerangi rasuah dan memastikan tadbir urus yang baik sentiasa mendapat perhatian pelbagai pihak yang mahu melihat agensi itu mempunyai integriti yang tinggi dan kebebasan menjalankan siasatan.

Namun, SPRM yang ditubuhkan pada 1 Oktober 1967 sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pada suatu ketika dikenali sebagai Biro Siasatan Negara (BSN) tidak pernah sepi dengan kontroversi yang memberi bayangan gelap kepada agensi itu.

Kematian Setiausaha Politik, Teoh Beng Hock pada 2009 dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbani Mohamed pada  2011 ketika dalam jagaan SPRM sudah lama berlalu, tetapi tetap kekal dalam ingatan yang memberikan imej buruk kepada agensi itu.

Antara kejadian memalukan dan menggugat integriti SPRM adalah kes kehilangan bahan bukti wang tunai berjumlah AS$6.94 juta (kira-kira RM29 juta) pada 2021. Wang ini yang dirampas daripada bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Abdul Hamid, hilang dari simpanan SPRM. 

Kejadian ini membawa kepada penahanan dan pendakwaan tiga pegawai kanan SPRM, dengan seorang daripada mereka, dijatuhi hukuman penjara dan sebat pada 2022 

Kontroversi terkini babitkan Ketua Pesuruhjaya 

Tahun 2026 kelihatan tidak banyak berubah dengan antara isu utama yang menggugat kepercayaan awam adalah dakwaan pemilikan saham orang nombor satu SPRM, Tan Sri Azam Baki dan tuduhan kewujudan ‘mafia korporat’ membabitkan agensi tersebut.

Isu pemilikan saham mula menjadi perhatian umum apabila beliau didakwa memiliki sejumlah besar saham dalam dua syarikat awam pada tahun 2015 dan 2016, yang dikatakan melebihi had yang dibenarkan untuk penjawat awam.

Kontroversi ini menimbulkan persoalan serius mengenai pematuhan etika dan peraturan dalam kalangan kepimpinan tertinggi SPRM. Bagi menjawab dakwaan ini, sebuah Jawatankuasa Khas ditubuhkan untuk menyiasat aspek pematuhan dan keteraturan pemilikan saham tersebut.

Azam dilaporkan telah memberi keterangan kepada jawatankuasa ini dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan yang bebas dan telus. Namun, proses siasatan dalaman perlu dijalankan dengan penuh ketelusan dan akauntabiliti untuk meyakinkan orang ramai bahawa tiada konflik kepentingan atau salah laku berlaku.

Isu yang lebih membimbangkan adalah dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ membabitkan pegawai SPRM.

Laporan agensi berita antarabangsa Bloomberg serta beberapa blog dalam talian, mendakwa bahawa pegawai SPRM bersekongkol dengan ahli perniagaan tertentu untuk merampas kawalan syarikat melalui tekanan siasatan dan tangkapan.

SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, menyifatkannya sebagai cubaan untuk mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan agensi tersebut terhadap pihak-pihak tertentu dalam sektor korporat.

SPRM menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas dan berasal dari sumber yang tidak dapat dikenal pasti, malah mendakwa ia adalah isu lama yang dikitar semula untuk menjejaskan imej dan reputasinya. Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menyiasat dakwaan ini, manakala SPRM berjanji akan memberikan kerjasama penuh.

SPRM jadi alat politik?

Selain dua isu ini, SPRM berhadapan dakwaan digunakan sebagai ‘alat politik’ oleh kerajaan yang memerintah. Siasatan terhadap tokoh-tokoh pembangkang, seperti kes Jana Wibawa yang melibatkan pimpinan Bersatu, sering kali dilabelkan sebagai ‘pendakwaan terpilih’ atau ‘witch hunt’ politik.

Persepsi ini diperkukuh apabila SPRM dilihat bertindak pantas terhadap musuh politik kerajaan semasa, tetapi didakwa ‘lembab’ atau ‘senyap’ dalam kes-kes yang melibatkan penyokong atau pimpinan dalam kerajaan, seperti isu pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang melibatkan tokoh-tokoh tertentu.

Keadaan ini secara serius menghakis persepsi kebebasan SPRM, menyebabkan rakyat mula melihat agensi tersebut bukan sebagai badan bebas yang memerangi rasuah tanpa pilih kasih, tetapi sebagai instrumen yang digunakan oleh pihak eksekutif untuk mengekalkan kuasa dan menekan lawan politik.

Semua isu yang berlaku memberikan impak negatif yang ketara terhadap persepsi awam terhadap SPRM. Walaupun Malaysia menunjukkan peningkatan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International, dengan skor 52 pada 2025 berbanding 50 pada tahun 2024, isu-isu domestik mewujudkan jurang antara pengiktirafan antarabangsa dan kepercayaan rakyat tempatan.

Peningkatan CPI menunjukkan usaha kerajaan dalam memerangi rasuah di peringkat makro, namun kontroversi yang melibatkan kepimpinan dan dakwaan salah laku dalam SPRM sendiri mengikis keyakinan terhadap integriti institusi tersebut.

Pelbagai pihak, termasuk rakan gabungan Kerajaan Perpaduan seperti DAP dan kumpulan masyarakat sivil seperti Rasuah Busters,  menyuarakan kebimbangan dan mendesak tindakan tegas. Terdapat desakan untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan ‘mafia korporat’ secara menyeluruh dan bebas. Ini mencerminkan tahap ketidakpuasan hati dan keperluan mendesak untuk akauntabiliti yang lebih tinggi.

Reformasi pulihkan imej SPRM 

Untuk memulihkan integriti dan kebebasan SPRM, beberapa reformasi institusi yang signifikan perlu dipertimbangkan.

Pertama, mekanisme pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu diubah. Cadangan untuk melantik Ketua Pesuruhjaya melalui persetujuan Parlimen, berbanding pelantikan terus oleh Perdana Menteri, akan meningkatkan kebebasan dan akauntabiliti agensi tersebut daripada pengaruh eksekutif 

Kedua, penubuhan sebuah badan Ombudsman yang bebas boleh menyediakan saluran aduan dan penyiasatan yang lebih berkesan terhadap salah laku dalam agensi kerajaan, termasuk SPRM, menambah lapisan semak dan imbang yang penting.

Ketiga, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat akan membolehkan akses awam yang lebih besar kepada maklumat kerajaan, termasuk operasi SPRM, sekali gus meningkatkan ketelusan dan mengurangkan ruang untuk salah laku.

Keempat, perlindungan yang lebih kukuh kepada pemberi maklumat adalah penting untuk menggalakkan pendedahan salah laku tanpa rasa takut akan tindakan balas, yang akan membantu SPRM mendapatkan maklumat penting untuk siasatan rasuah.

Kelima, SPRM bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen, dan bukan kepada Perdana Menteri, akan memperkukuhkan kedudukannya sebagai badan bebas yang berintegriti.

SPRM kini berada di persimpangan jalan. Isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya dan dakwaan ‘mafia korporat’ mencetuskan krisis kepercayaan yang memerlukan penyelesaian segera dan menyeluruh.

Walaupun SPRM menafikan dakwaan tersebut dan siasatan sedang berjalan, persepsi awam adalah kritikal kerana agensi itu tidak boleh menjadi tertuduh, peguam bela, pendakwa raya dan hakim pada masa yang sama.

Untuk memulihkan integriti dan kebebasan yang diidamkan, reformasi institusi yang berani dan komprehensif adalah mandatori. Hanya dengan langkah-langkah ini, SPRM dapat kembali menjadi benteng utama negara dalam memerangi rasuah dan mendapatkan semula kepercayaan penuh rakyat Malaysia.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pijak al-Quran: Tiada lagi tolak ansur, wajar hukuman berat sebagai pengajaran

Next Post

‘Lucut kerakyatan pelampau pijak al-Quran’ 

Related Posts