RABU, 17 NOVEMBER – Malaysia bersedia menjadi hab rawatan hepatitis C dengan menawarkan rawatan kombinasi ubat Ravidasvir dan Sofosbuvir pada harga berpatutan.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, produk baharu bagi pelancongan kesihatan itu ditawarkan susulan Malaysia menjadi negara pertama diberi kelulusan bersyarat untuk menawarkan rawatan daripada gabungan dua ubat tersebut.
Khairy berkata, rawatan itu akan dipasarkan kepada pengembara dari luar negara.
Tambah beliau, ia merupakan rawatan jangka masa sederhana sekitar 3 bulan justeru ekonomi turut dijangka menghadapi kesan yang berganda.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika sidang media sempena InsigHT2021.
Persidangan perisikan pasaran pelancongan perubatan terkemuka rantau ini yang dianjurkan Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia MHTC diadakan selama 3 hari bermula hari ini.
Beliau berkata tawaran itu juga sejajar dengan misi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk mengurangkan penularan jangkitan virus hepatitis itu sebanyak 90% dan mengurangkan kematian disebabkan virus itu sebanyak 65% menjelang 2030.