BANGI, 8 SYAABAN – Cadangan kerajaan untuk membenarkan kanak-kanak berusia 6 tahun masuk ke Tahun 1 tidak wajar kerana bercanggah dengan prinsip perkembangan kanak-kanak dan panduan pendidikan Islam.
Ketua Sekretariat Media Gabungan Nasionalis, Haji Rashidi Haris berkata, dasar ini menunjukkan kegagalan memahami fitrah, tahap kematangan, dan keupayaan sebenar kanak-kanak.
Beliau menekankan: “Rasulullah SAW dengan jelas meletakkan panduan dari sabdanya: ‘Perintahkan anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka (dengan didikan) jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun.’
Hadis ini sangat signifikan kerana Islam hanya mewajibkan disiplin tanggungjawab yang lebih serius pada usia 10 tahun, bahkan pada usia 7 tahun pun, arahan solat adalah latihan, bukan paksaan keras.
Haji Rashidi Haris menegaskan, usia 6 tahun masih belum matang dari segi emosi, tumpuan dan disiplin.
“Sistem tadika diwujudkan untuk membina kemahiran sosial, mengawal emosi dan belajar melalui permainan, bukannya paksaan.
“Memindahkan mereka ke Tahun 1 bermakna merampas satu fasa penting pembinaan jiwa dan sahsiah. Ini bukan pendidikan, ini sudah memasuki fasa kezaliman secara sistemik,” katanya.
Beliau menasihati kerajaan, khususnya KPM, supaya mengkaji semula dasar ini, kekalkan usia 6 tahun di tadika, perkukuh pendidikan awal kanak-kanak dan kurangkan tekanan akademik.
“Kanak-kanak bukan bahan eksperimen dasar. Pendidikan bukan medan uji kaji angka dan statistik. Jika kerajaan mahu membina generasi kuat, bermaruah dan berakhlak, biarkan kanak-kanak membesar mengikut fitrah yang Allah tetapkan,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi