KHAMIS, 25 NOVEMBER – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-257 di Istana Negara.
Mesyuarat yang bermula semalam itu dipengerusikan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Selepas kali terakhir diadakan semasa mesyuarat ke-256 pada 19 dan 20 Februari 2020 yang dipengerusikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Mesyuarat Majlis Raja-raja berlangsung semula.
Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Nazrin Shah; Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.
Selain itu, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah; Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Mesyuarat itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir pada mesyuarat itu.
Menteri Besar setiap negeri turut hadir mengiringi Raja-raja Melayu kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Ketua Menteri.