Reformasi pendidikan di Malaysia kini menjadi perbincangan hangat dalam kalangan pendidik, pelajar, dan ibu bapa. Dalam era menghadapi landskap pendidikan yang semakin mencabar, satu perkara yang tidak boleh diabaikan ialah hakikat bahawa kejayaan reformasi ini bukan hanya bergantung kepada sekolah atau kementerian semata-mata, tetapi ianya menuntut kepada penglibatan menyeluruh seluruh ekosistem masyarakat.
Baru-baru ini negara telah digemparkan dengan insiden pembunuhan dan serangan seksual terhadap pelajar di sekolah yang telah membuka mata banyak pihak terhadap krisis nilai, moral dan kemerosotan integriti dalam kalangan masyarakat kita.
Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak menimba ilmu kini bertukar menjadi lokasi tragedi dan dirasakan sudah tidak selamat. Kejadian ini bukan sahaja menimbulkan persoalan tentang tahap keselamatan sekolah, tetapi juga mencerminkan keruntuhan moral dan empati dalam sistem sosial kita.
Dalam konteks ini, integriti bukan sekadar menjadi kata kunci, tetapi tunjang kepada pembentukan manusia beradab dan masyarakat beretika. Sekolah bukan sahaja sebagai sebuah institusi yang mendidik pelajar untuk berfikir dan berilmu, tetapi juga sebagai medium untuk menerapkan perilaku insan yang bakal dilahirkan dengan nilai murni seperti jujur, amanah, berdisiplin dan bertanggungjawab.
Guru sebagai asas kepada sistem pendidikan harus menjadi ikon integriti melalui ketelusan dalam tugas, akauntabiliti terhadap tindakan, dan keikhlasan dalam mendidik tanpa prejudis.
Namun, beban ini tidak boleh diletakkan di bahu sekolah dan guru semata-mata. Peranan ibu bapa dan komuniti adalah menjadi keutamaan dalam pembentukan karakter anak-anak generasi yang bakal dilahirkan.
Penglibatan aktif mereka dalam aktiviti sekolah, pemantauan terhadap perkembangan anak-anak, serta penerapan asas nilai integriti dari rumah adalah benteng utama dalam membentuk sahsiah dan karakter pelajar.
Manakala, komuniti setempat pula perlu lebih prihatin dan responsif terhadap tingkah laku sosial remaja dan tidak bersikap lepas tangan terhadap gejala buli, penyalahgunaan dadah atau gangguan seksual yang berlaku disekeliling dengan hanya menuding jari kepada satu pihak tanpa membantu mencegah dan mengatasi masalah yang berlaku di depan mata.
Sistem pendidikan kita juga kini berdepan cabaran besar melibatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, kualiti pengajaran yang perlu diperkasa melalui latihan berterusan kepada guru serta keperluan menyesuaikan kurikulum dengan dunia digital serta realiti industri semasa menjadi satu cabaran yang hebat kepada sistem Pendidikan untuk terus releven. Reformasi yang hanya menumpukan kepada aspek akademik tanpa menyentuh dimensi moral dan integriti akan gagal melahirkan insan seimbang.
Dalam usaha membina semula keyakinan terhadap sistem pendidikan, nilai integriti mesti dijadikan teras paling utama dalam setiap dasar, keputusan dan tindakan yang dibuat oleh semua pihak.
Reformasi pendidikan bukan sekadar perubahan sistem, tetapi perubahan minda dan budaya yang menuntut keberanian moral dalam menegakkan kebenaran, keterbukaan untuk memperbetulkan kesilapan, dan komitmen secara bersama untuk memastikan setiap anak-anak mendapat hak untuk belajar dalam persekitaran yang selamat, beretika dan berperikemanusiaan.
Kesimpulannya, kejayaan kepada reformasi pendidikan kini bukanlah diukur pada jumlah gred A yang diperolehi oleh anak-anak, tetapi pada sejauh mana kita berjaya melahirkan seorang insan berintegriti yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga teguh nilai dan empatinya terhadap sesama manusia.
Noraini Sapuan
Pegawai Tadbir, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Penafian: Berita atau kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi TV Pertiwi.