Isu ART Malaysia-AS: Jangan terlampau bongkak, Tengku Zafrul – Dr Mahathir 

BANGI, 14 JAMADILAKHIR – Tun Dr Mahathir Mohamad, menasihati bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, supaya tidak terlalu bongkak hingga tidak mahu mengaku kesilapan bersetuju dengan perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Amerika Syarikat (AS)-Malaysia. 

Bekas Perdana Menteri berkata, bukan hanya beliau berkata demikian, malah ramai orang lain yang lebih bijak dan pakar mempunyai pandangan serupa. 

“Saya rasa cukuplah (Tengku) Zafrul pertahankan kepentingan AS dan mulakan usaha untuk membatal perjanjian yang menggadai kedaulatan negara,” katanya dalam tulisan di Facebook, hari ini.

Memperincikan pandangannya, Dr Mahathir berkata mula-mula, Tengku Zafrul mencabarnya untuk membuktikan bahawa syarikat AS mengambil alih status Bumiputera akibat ART antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump.

“Maka saya kongsi dengan dia, Klausa 6.2 (1) ART yang kandungannya jelas menyatakan bahawa kerajaan Malaysia tidak boleh beri bantuan bukan komersial atau subsidi kepada GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan), tidak boleh diskriminasi produk AS.

“Dalam bahasa mudah, tidak ada keistimewaan kepada mana-mana GLC atau syarikat tempatan apabila berurusan dengan AS. Ini maknanya dasar-dasar yang memberi kuota atau kepentingan kepada syarikat Bumiputera tidak boleh lagi dilaksanakan,” katanya.

Bekas Perdana Menteri berkata, setelah menyatakan secara terperinci mengenai Klausa 6.2 (1), iaitu cara perjanjian itu akan mengetepikan kepentingan Bumiputera, Tengku Zafrul mengeluarkan satu lagi video dan mendakwa beliau salah dan tidak membaca perjanjian itu hingga habis.

Menurutnya, Tengku Zafrul berhujah bahawa di bahagian akhir Klausa 6.2 (1)menyatakan bahawa “Malaysia shall refrain from providing non-commercial assistance or otherwise subsidising its good-producing SOEs (dibaca sebagai GLCs) except for the achievement of their public service obligations. Malaysia shall ensure a level playing field for US companies in Malaysia’s market with respect to SOEs of third countries (Malaysia hendaklah menahan diri daripada memberikan bantuan bukan komersial atau mensubsidi perusahaan milik negara yang menghasilkan barangan kecuali bagi memenuhi kewajipan perkhidmatan awam mereka. Malaysia hendaklah memastikan padang persaingan yang sama rata untuk syarikat-syarikat Amerika di pasaran Malaysia berhubung perusahaan milik negara dari negara ketiga.)

Katanya, bekas Menteri MITI menggunakan “except for the achievement of their public service obligations (kecuali untuk memenuhi kewajipan kepentingan awam mereka)” sebagai peruntukan yang akan membenar Malaysia meneruskan dasar-dasar kepentingan Bumiputera.

“Pertamanya, apabila (Tengku) Zafrul perlu merujuk kepada pengecualian ini, ia bermakna bahawa kenyataan saya bahawa Klausa 6.2 (1) kepentingan Bumiputera tidak dibenar oleh perjanjian ini jelas betul.

“Keduanya, apakah yang dimaksud dengan public service obligations? Adakah ini termasuk kepentingan Bumiputera dan kebenaran kepada syarikat tempatan mendapat kelebihan ke atas syarikat-syarikat AS dan diskriminasi yang disebut terdahulu tidak terpakai?

“(Tengku) Zafrul tidak pula nyatakan siapakah yang akan tentukan apakah yang didefinisi sebagai public service obligations? Sudah tentu bukannya Malaysia sahaja tetapi AS,” katanya. 

Berdasarkan keseluruhan ART Malaysia-AS, Dr Mahathir berkata, jelas segala peruntukan dan tuntutan adalah untuk kepentingan AS, malah Tengku Zafrul mengakui bahawa Malaysia terpaksa menandatangani ART.

“Tiba-tiba (Tengku) Zafrul nak yakinkan kita bahawa kita tak akan tunduk kepada apa yang AS tetapkan dan dia juga mendakwa bahawa dia sudah tetapkan red lines (syarat yang tidak boleh dilanggar) dengan AS apabila berkaitan  kepentingan Bumiputera.

“Setahu saya dalam membuat perjanjian ART tersebut yang ada melukis red lines ialah Trump seperti yang dinyatakan oleh (Edgard D) Kagan, Duta Amerika ke Malaysia yang sehingga kini tidak dinafi atau dibangkang oleh Tengku Zafrul atau Anwar,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Reformasi pendidikan dan krisis integriti: Cerminan masyarakat kita

Next Post

Ayuh semarakkan semula kempen BMF

Related Posts