BANGI, 6 JAMADILAKHIR – Rasulullah membenci rasuah dan segala mereka yang terlibat dengannya, kata ahli Majlis Ulama ISMA, Dr Ahmad Sanusi Azmi.
Beliau berkata, ini termasuk pemberi rasuah, penerima atau orang yang terlibat sebagai orang tengah yang menguruskan rasuah tersebut.
Jelas beliau, kebencian rasuah terhadap golongan ini terzahir dalam hadis laknat terhadap mereka.
“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan ejen rasuah, iaitu mereka yang berjalan (menjadi pengantara) di antara pemberi dan penerima rasuah,” katanya merujuk petikan daripada Hadis riwayat Abu Daud.
Ahmad Sanusi berkata, penggunaan perkataan ‘laknat’ dalam hadis ini bermakna perbuatan rasuah itu adalah perlakuan yang amat terkutuk sehingga mereka melakukannya dilaknat oleh Allah dan Rasul.
Beliau turut menekankan bahawa hadis ini bukan sahaja tertumpu kepada pemberi dan penerima rasuah, malah juga melaknat ejen iaitu orang tengah yang menjadi kepercayaan terhadap urusan tersebut.
“Ini kerana merekalah yang menjadi dalang kepada berlakunya urusan ini,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, kumpulan manusia seperti ini tidak seharusnya diangkat menjadi pemimpin.
Katanya al-Imam al-Sani’ani dan al-Zahabi meletakkan kumpulan perasuah ini pelaku dosa besar, malah al-Imam Qurtubi menegaskan bahawa penerima rasuah dikategorikan sebagai orang fasiq.
“Secara umumnya, seorang yang melakukan dosa besar dan digelar sebagai fasiq ini tidak seharusnya dilantik sebagai pemimpin.
“Ini kerana, syarat asas bagi seorang pemimpin Muslim adalah bersifat adil dan amanah.
“Pesalah rasuah tidak memiliki dua sifat ini,” ujarnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi