SELASA, 4 JANUARI – Tindakan kerajaan memberi peruntukan kepada sekolah vernakular – iaitu bukan pihak berkuasa awam – ibarat menganaktirikan institusi pendidikan milik Kementerian Pendidikan yang masih daif.
Itu pula pandangan Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani.
Menurut Kamal sebagai badan swasta, sekolah tersebut seharusnya membiayai sendiri semua perbelanjaannya dan tidak menggunakan atau memohon peruntukan kerajaan.
Kamal Shukri Abdullah Sani, Pengerusi Biro Pembangunan Ummah Dan Komuniti berkata :
“Tidakkah sebenarnya peruntukan yang besar itu sepatutnya disalurkan kepada ribuan sekolah kerajaan sendiri yang masih daif terutama di kawasan pedalaman semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak?”
Kamal berkata, banyak taikun yang kaya-raya boleh dan sedia membantu mereka pada bila-bila masa sahaja.
Lebih lebih lagi dasar dan sikap kebanyakan mereka tidak mahu meraikan bahasa rasmi negara sebagai bahasa penghanta apabila kurikulum yang tidak berkiblatkan negara ini seperti UEC misalnya.
Justeru, beliau menyarankan segala peruntukan untuk sekolah tersebut dialihkan sepenuhnya bagi memperkasakan sekolah kebangsaan (SK) atau sekolah yang sedia mematuhi kurikulum, falsafah pendidikan dan bahasa kebangsaan.
Jelasnya, selain daripada agensi kerajaan dan badan awam, tentunya tidak menjadi kewajipan serta tanggungan pihak kerajaan untuk memberikan sebarang bantuan kewangan apatah lagi peruntukan khusus daripada belanjawan negara pada setiap tahun.
Tambahnya, jika hal ini diambil kira maka apakah statusnya segala peruntukan tahunan berjumlah jutaan ringgit daripada belanjawan negara yang cukup banyak yang diberikan secara tetap setiap tahun kepada bukan badan awam selama ini seperti sekolah vernakular tersebut yang dikelaskan sebagai bukan badan awam.
Kamal berpandangan bahawa tidak mustahil pihak kerajaan dan KPM terdedah kepada tindakan undang-undang susulan keputusan mahkamah baru-baru ini menyatakan sekolah vernakular bukan bersifat badan awam.