Pembinaan rumah ibadat tak boleh sesuka hati, perlu ikut zon dan syarat tanah

BANGI, 1 JAMADAILAKHIR – Pembinaan rumah ibadat tidak boleh dilaksanakan secara sesuka hati, sebaliknya perlu berpandukan kepada zon atau syarat tanah yang ditetapkan pihak berkuasa.

Bercakap dengan TV Pertiwi, pakar tanah, Mohd Azlan Abdul Rahman berkata, rumah ibadat, tidak kira mana-mana agama, akan dianggap sebagai binaan haram sekiranya ia dibangunkan tanpa mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, ini termasuk kaedah pencerobohan yang mana pembinaan rumah ibadat itu dilakukan di atas tanah milik kerajaan atau persendirian tanpa mendapatkan kebenaran tuan tanah.

Malah, beliau menjelaskan, sekiranya rumah ibadat itu dibangunkan oleh pemilik tanah, namun syarat atau zon tanah itu ditetapkan untuk binaan kategori lain – seperti rumah atau tujuan komersial – maka binaan itu juga akan dianggap sebagai tidak sah dan melanggar peraturan.

“Sekiranya ingin bina (rumah ibadat), perlu mendapatkan kebenaran daripada PBT.

“Penetapan untuk binaan rumah ibadat sebenarnya telah ditetapkan oleh pihak berkuasa menerusi perancangan bandar dengan mengambil kira demografi penduduk di kawasan berkenaan,” katanya dalam segmen Podcast Pertiwi.

Dari aspek penguatkuasaan, Mohd Azlan menjelaskan, binaan haram di atas tanah kerajaan akan termasuk tanah perkuburan Islam yang dikendalikan oleh jabatan agama Islam negeri akan diuruskan oleh Jabatan Tanah dan PBT.

Beliau berkata, Jabatan Tanah kebiasannya akan memberi notis pengosongan sebagai amaran kepada penceroboh supaya keluar daripada kawasan terbabit.

Katanya, sekiranya amaran itu tidak dipatuhi, maka PBT akan mendapatkan perintah mahkamah untuk merobohkan binaan haram menggunakan jentera milik majlis perbandaran.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, penceroboh tanah sebenarnya tidak ada hak untuk menuntut pampasan kerana perbuatannya secara jelas telah melanggar undang-undang.

“Mengikut undang-undang, tidak ada pampasan kepada penceroboh. Pampasan hanya kepada binaan yang sah dan berdaftar, contohnya apabila berlaku pengambilan tanah. Itu pun pampasan ini kebiasannya akan dibincang antara semua pihak yang terlibat.

“Kenapa pula perlu cari tapak ganti sedangkan binaan itu dibangunkan secara haram?” soalnya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

16,951 remaja hamil luar nikah sepanjang 2020-2024

Next Post

Jangan bagi muka kepada penceroboh tanah, laporkan binaan haram

Related Posts