BANGI, 30 JAMADILAWAL – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendedahkan seramai 16,951 remaja perempuan berusia 19 tahun dan ke bawah yang tidak berkahwin, direkodkan hamil bagi tempoh sepanjang lima tahun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, angka bagi tempoh antara 2020 hingga 2024 itu adalah berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang direkodkan di fasiliti kerajaan.
Bagi menangani isu kehamilan remaja luar nikah, katanya usaha dilaksanakan secara menyeluruh melalui pendidikan kesihatan reproduktif, kaunseling dan sokongan komuniti.
“Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif serta melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan berdaya tahan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian susulan pertanyaan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki, mengenai bilangan remaja hamil tanpa nikah dan langkah pencegahan isu tersebut.
Menurut Nancy, pelan tindakan itu menekankan pembangunan kemahiran reproduktif yang positif melalui pendidikan formal di sekolah dan pendidikan tidak formal di peringkat komuniti dengan tindakan bersepadu digerakkan menerusi platform Majlis Sosial Negara.
Katanya, antara tindakan bersepadu tersebut termasuk memasukkan program PEKERTI di peringkat institusi pengajian tinggi, memperluaskan pelaksanaan di peringkat komuniti serta meningkatkan promosi dan advokasi pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.
“Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut menyediakan khidmat sokongan kepada remaja menerusi Pusat Remaja KafeTEEN dan Program Sahabat KafeTEEN di sekolah yang menyediakan ruang bimbingan, klinik kesihatan reproduktif dan kaunseling psikososial.
“Sebanyak 18 Pusat Remaja KafeTEEN, sebuah trak KafeTEEN dan 143 Kelab KafeTEEN di sekolah menengah diwujudkan bagi meluaskan akses kepada pendidikan kesihatan reproduktif melalui peer educators terlatih,” katanya seperti dilaporkan portal RTM.
Selain itu, katanya kerajaan akan melancarkan Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara yang baharu sebagai usaha memperkasakan institusi keluarga.
“Ini termasuk memperkukuh peranan ibu bapa dan remaja dalam perancangan keluarga. Usaha membendung isu kehamilan remaja luar nikah ini wajar digembleng bersama oleh semua pihak demi masa depan generasi muda kita yang lebih sejahtera,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi