‘Gunalah bahasa Melayu, patutnya bangga dengan bahasa kebangsaan’

BANGI, 13 JAMADILAWAL – Penggunaan nama Inggeris bagi projek pencahayaan bandar di Bukit Bintang yang dinamakan I LITE U kononnya atas tujuan gimik pemasaran, sebenarnya satu lagi cerminan bagaimana bahasa kebangsaan sering diletakkan di tempat kedua, bahkan dalam urusan rasmi kerajaan sendiri.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dilaporkan berkata bahawa nama itu bukan bertujuan mengetepikan bahasa Melayu, sebaliknya mempunyai maksud tersendiri yang diambil daripada singkatan Innovative, Lighting, Infrastructure, Towards, Eco-Elegance and Urbanisation. 

Beliau turut menjelaskan bahawa slogan Illuminate the City, Inspire the Nation membawa simbolik kepada usaha memperindahkan pencahayaan bandar raya bagi menarik pelancong.

Namun, apa jua alasan sekalipun, sama ada atas nama promosi, gimik atau strategi pemasaran, soal bahasa kebangsaan tidak sepatutnya dikorbankan. Kuala Lumpur bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi ibu negara yang menjadi wajah dan identiti Malaysia di mata dunia. 

Maka, segala yang terpampang di ruang awam, khususnya pada papan tanda rasmi atau nama projek bandar, sewajarnya menonjolkan martabat bahasa Melayu.

Jika benar tujuannya untuk memikat pelancong antarabangsa, ia boleh dilakukan tanpa menafikan keutamaan bahasa kebangsaan. Lihat sahaja banyak negara maju yang tetap mengekalkan bahasa sendiri – Jepun, Korea, Perancis — namun pelancong tetap datang. Mereka tidak menukar nama kempen atau projek kepada bahasa Inggeris semata-mata untuk nampak moden atau menarik.

Bahasa ialah maruah bangsa. Ia menggambarkan jati diri dan keyakinan terhadap akar budaya sendiri. Bila projek rasmi bandar raya pun cenderung menggunakan nama Inggeris, mesej yang sampai kepada rakyat ialah: bahasa Melayu tidak cukup bernilai untuk diketengahkan di pentas dunia.

Lebih membimbangkan apabila alasan gimik pemasaran dijadikan sandaran bagi menjustifikasi penggunaan bahasa asing. Jika trend ini dibiarkan, tidak mustahil satu hari nanti seluruh wajah Kuala Lumpur dipenuhi nama dan slogan yang langsung tidak mencerminkan identiti negara.

Isu ini turut menarik perhatian netizen yang rata-rata menyifatkan langkah DBKL itu tidak wajar dan memalukan.

“Kenapa susah sangat nak guna bahasa sendiri? Kalau nak kreatif pun, biarlah kreatif dalam bahasa Melayu,” tulis seorang pengguna di platform X.

“Negara lain bangga dengan bahasa mereka. Kita pula rasa bangga bila guna bahasa orang lain,” kata seorang lagi pengguna, menegur sikap tidak konsisten pihak berkuasa terhadap dasar bahasa kebangsaan.

“Tak salah nak tarik pelancong, tapi jangan sampai hilang identiti. Bukit Bintang tetap di Malaysia, bukan di London,” ujar seorang pengguna lain dengan nada sinis.

Sudah sampai masa pihak berkuasa tempatan, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kembali menilai semula dasar komunikasi awam mereka. Promosi boleh dijalankan dengan pelbagai cara, tetapi prinsip bahasa kebangsaan mesti dijaga. 

Gunalah nama Melayu. Banggalah dengan bahasa sendiri. Kerana daripada bahasa itulah terpantul jiwa bangsa yang berdaulat.


Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Umat Islam dinasihat lebih cakna sebelum beli produk label halal

Next Post

Kuota petrol 800 liter, syarat perjalanan 5,000km tidak realistik untuk pemandu e-hailing – TPAD

Related Posts