BANGI, 2 JAMADILAWAL – Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mengemukakan cadangan sinis agar DAP mengambil alih dan membiayai sendiri semua 1,300 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), sekiranya mahu menghidang arak di sekolah berkenaan.
Beliau berkata demikian dipercayai mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng, yang menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana melarang penganjuran majlis melibatkan alkohol di dewan sekolah awam dan premis komuniti Cina.
“Pemimpin ultra kiasu DAP ini sudah melampau!. Kalau nak sangat hidang arak di SJKC, sekolah kepunyaan kerajaan (walaupun tidak sepenuhnya) maka eloklah DAP pakat-pakat dengan persatuan Cina seperti Hua Zong, Jiao Zong dan Dong Zong ambil alih semua 1,300 SJKC seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Ridhuan Tee berkata, kedegilan pemimpin ultra kiasu bukan perkara baharu, tetapi sudah wujud sejak dahulu lagi.
“Sejak wujudnya pendidikan Cina, mereka tidak pernah mahu patuh kepada arahan kerajaan, terutama berkaitan kurikulum, silibus, Bahasa Melayu, sejarah dan Bahasa Inggeris.
“Dalam kata lain, ultra kiasu hanya pentingkan pendidikan Cina sahaja. Saya tidak kata semua, tetapi begitulah realitinya.
“Hatta, perkara yang bertentangan dengan ajaran hidup dan agama mereka sendiri, seperti hidangan arak ini pun mereka bermatian memperjuangkannya,” katanya.
Justeru katanya, jika pihak berkenaan mahu sangat menghidangkan arak di SJKC, beliau menyarankan supaya membiayai sendiri semua 1,300 sekolah.
“Suruh tokey kilang arak biayai sepenuhnya sekolah Cina. Tidak perlu minta bantuan kerajaan.
“Berbilion wang rakyat habis digunakan bagi membantu dan menyara SJKC, termasuk gaji dan prasarana SJKC,” katanya.
Terdahulu, Guan Eng menyifatkan Perdana Menteri mencetuskan kegusaran besar dan rasa tidak puas hati mendalam dalam kalangan masyarakat Cina berhubung isu arak di sekolah Cina.
Katanya, amalan kebiasaan membenarkan arak dihidangkan dalam majlis seperti perkahwinan masyarakat Cina, makan malam kuil, acara hiburan di dewan sekolah Cina di luar waktu aktiviti sekolah tanpa penglibatan pelajar berterusan tanpa gangguan sejak merdeka pada 1957.
Malah ketika PAS berada dalam kerajaan, katanya parti itu tidak pernah mencampuri urusan sekolah rendah Cina dan aktiviti seumpama ini diteruskan tanpa gangguan di dewan sekolah Cina.
“Persoalan lanjut timbul: di manakah had larangan ini akan berakhir? Adakah selepas arak, sasaran seterusnya ialah daging babi?, soal Guan Eng.
Semalam, Anwar dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penganjuran pesta arak atau aktiviti yang bercanggah dengan nilai pendidikan di kawasan sekolah, termasuk selepas waktu persekolahan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi