Kes rogol bawah umur semakin menjadi-jadi, salah siapa?

BANGI, 24 RABIULAKHIR – Statistik kes rogol melibatkan remaja menyaksikan secara purata sekurang-kurangnya 133 pelajar dilaporkan menjadi mangsa jenayah itu antara tempoh Januari hingga Jun tahun lalu.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu , 799 pelajar menjadi mangsa jenayah rogol. 

Kes rogol dilaporkan semakin ‘menjadi-jadi’ terutama dalam kalangan pelajar sekolah selepas beberapa insiden berlaku dalam kawasan sekolah yang diklasifikasi sebagai tempat selamat.

Berdasarkan statistik Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), terdapat 5,405 kes rogol yang melibatkan pesalah juvana bagi tempoh 2016 hingga 2024, menunjukkan trend yang berterusan setiap tahun, termasuk 547 kes yang direkodkan pada tahun 2024 sahaja.

Angka-angka ini adalah data yang diterima melalui laporan namun jumlah sebenar kejadian dijangkakan lebih banyak lagi.

Terbaharu, kejadian salah laku rogol berkumpulan membabitkan empat pelajar lelaki yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Melaka ‘panik’ dalam kalangan ibu bapa.

Belum reda isu itu, muncul lagi satu laporan membabitkan empat pelajar lelaki berkumpulan merogol seorang pelajar perempuan di Baling, Kedah.

Kejadian seumpama ini menambah keresahan dalam kalangan masyarakat. Hal ini menunjukkan bahawa terdapat kelemahan dalam sistem perlindungan dan pendidikan terhadap golongan remaja sama ada kepada pelaku mahupun kepada mangsa.

Pelbagai pihak boleh dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan, namun antara pihak yang paling penting dalam menangani isu ini ialah institusi keluarga.

Keluarga adalah benteng pertahanan pertama dalam membentuk peribadi dan melindungi anak-anak daripada bahaya jenayah seksual.

Oleh itu, keluarga perlu memainkan peranan aktif dalam usaha mencegah dan menangani kes rogol yang melibatkan remaja terutama pelajar sekolah.

Penekanan kepada tanggungjawab dan hubungan lelaki terhadap wanita terutama dalam menjaga kesejahteraan keluarga dan masyarakat amat penting.

Allah SWT telah berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 34 yang antara maksudnya, “Kaum laki-laki adalah qawwam bagi kaum wanita…”

Perkataan “qawwam” ertinya pemelihara, pelindung atau pemimpin. Ia bukan soal penguasaan kuasa mutlak, tetapi tanggung jawab sosial dan keluarga yang dibebankan kepada laki-laki seperti memberi nafkah, perlindungan dan bimbingan.

Sifat “lelaki qawwam” ini perlu ditanamkan dalam diri setiap lelaki dalam setiap keluarga sejak kecil. Bapa atau suami perlu menjadi contoh kepada anak-anak dalam memimpin dan melindungi kaum wanita dalam keluarganya.

Wujudnya sifat ini dalam kalangan kaum lelaki dapat mencegah mereka daripada mengasari, mendera atau mencederakan kaum wanita seperti kes rogol ini.

Mereka sepatutnya merasakan wanita-wanita lemah ini adalah mereka yang perlu dilindungi dan dipelihara kesejahteraannya.

Oleh: Hidayatul Akmal Ahmad , wartawan TV Pertiwi

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

KRIM perangi wabak pornografi, laksana modul Repro Alert di sekolah

Next Post

Lambakan kes pelajar, ini bukan kebetulan tapi krisis pendidikan

Related Posts