Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 9 SYAWAL — Datuk Asyraf Wajdi Dusuki hari ini memaklumkan tujuh pelajar yang terlibat dalam insiden buli tahun lalu ditamatkan pengajian dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu berkata keputusan tersebut hasil siasatan Jawatankuasa Disiplin MRSM berhubung nasib tujuh pelajar berkenaan.
“Keputusan kes buli Jawatankuasa Disiplin MRSM mendapati tujuh pelajar terlibat dengan dua daripadanya terlibat buli fizikal. Lima pelajar lagi bersubahat.
“Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian dari MRSM,” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini.
Asyraf semalam menggesa pegawainya tidak berkompromi menyiasat kes buli berkenaan yang dilaporkan berlaku di MRSM.
Katanya, jika insiden berkenaan benar maka tindakan tegas perlu diambil selepas institusi berkenaan sudah berulang kali diberikan peringatan.
“You touch, you go. Tiada tempat untuk pembuli atau yang cuba membudayakan buli dalam apa jua bentuk di MRSM,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Seberang Perai Selatan semalam mengesahkan insiden buli itu berlaku di sebuah MRSM di Pulau Pinang pada pertengahan tahun lalu.
DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata insiden membabitkan tujuh pelajar itu dikatakan bermula hanya dengan bergurau dan ejek-mengejek sesama sendiri.
“Mereka adalah pelajar tingkatan tiga di institusi berkenaan.
“Mereka akan dirakamkan keterangan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi