BANGI, 17 RABIULAKHIR – Lemah penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan segelintir pemimpin bukan Melayu, khususnya menteri berbangsa Cina bukan lagi isu baharu.
Namun, apabila ada yang masih gagal membaca teks rasmi dengan baik, ia bukan sahaja memalukan diri sendiri, tetapi turut mencalar maruah kerajaan dan imej negara.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menegur secara terbuka kepada mana-mana pemimpin yang masih lemah dalam penguasaan Bahasa Melayu, supaya mengambil inisiatif belajar semula, termasuk dengan mengikuti tuisyen peribadi.
Menurut beliau, tidak ada alasan untuk terus kekal lemah dalam bahasa kebangsaan setelah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, apatah lagi apabila Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang menjadi simbol penyatuan negara bangsa.
“Kelemahan membaca teks rasmi atau menyebut istilah mudah dalam Bahasa Melayu tidak sepatutnya berlaku. Kalau boleh belajar bahasa asing demi imej profesional, mengapa tidak usaha yang sama untuk Bahasa Melayu?,”soalnya.
Prof. Kok Seong turut menyifatkan isu ini sebagai masalah sikap dan keengganan menghormati bahasa kebangsaan.
Katanya, ramai pemimpin dari pelbagai latar belakang sanggup mengikuti kelas khas Bahasa Inggeris bagi memperbaiki sebutan dan kefasihan mereka, tetapi tidak ramai yang menunjukkan kesungguhan yang sama terhadap Bahasa Melayu.
“Jika pemimpin Cina boleh mengambil tuisyen Bahasa Inggeris atau Mandarin untuk meningkatkan kemahiran mereka, maka tindakan sama wajar dilakukan bagi memperbaiki penguasaan Bahasa Melayu. Ia bukan soal politik, tetapi tanggungjawab moral sebagai pemimpin negara,” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan, penguasaan Bahasa Melayu yang baik bukan sekadar soal komunikasi, tetapi juga mencerminkan tahap kesetiaan dan kefahaman terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan.
“Bahasa Melayu bukan milik orang Melayu semata-mata, ia milik negara. Maka, tidak wajar ada menteri yang masih terkial-kial menyebut perkataan asas atau membaca teks rasmi seolah-olah baru belajar mengeja,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi