BANGI, 16 RABIULAKHIR – Presiden BERJASA berkata Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Bandar (URA) yang dibawa oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming adalah isyarat jelas bahawa suara politik Melayu perlu bersatu.
Menurut Ustaz Zamani Ibrahim, ini membolehkan suara politik Melayu kembali menjadi kuasa semak serta imbang yang berkesan.
“Inilah masanya UMNO dan PN (Perikatan Nasional) bergerak seiring atas dasar kepentingan ummah, bukan kepartian.
“Apabila kuasa Melayu bersatu dan memayungi kaum minoriti lain, barulah negara ini kembali stabil, aman dan harmoni seperti yang dikehendaki oleh maqasid syariah,” katanya dalam laman sosial BERJASA, hari ini.
RUU URA yang dibentangkan oleh Kor Ming dalam sidang Dewan Rakyat lalu, tetapi ditangguhkan dan dijangka dibentangkan lagi dalam sidang baharu Dewan Rakyat yang bermula Isnin lalu.
Undang-undang ini bertujuan untuk menyusun semula sistem perancangan dan pembangunan bandar, termasuk memberi kuasa lebih luas kepada pihak berkuasa tempatan dalam urusan pembaharuan kawasan lama.
Namun, pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan bahawa RUU itu boleh membuka ruang kepada campur tangan politik dan kepentingan komersial tertentu dalam urusan pembangunan semula bandar, sekali gus menjejaskan keseimbangan sosioekonomi penduduk setempat.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi