ISNIN, 10 JANUARI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyokong kepimpinan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Dalam satu kenyataan, SPRM berpendirian tohmahan dan serangan yang dibuat terhadap Azam baki adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi.
Dalam kenyataan bersama itu, turut menggesa agar semua pihak menghentikan kemelut ini dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama.
Tambahnya, warga SPRM tetap bersatu hati dalam mempertahankan institusi Ketua Pesuruhjaya dan SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara tercinta.
Kes membabitkan Azam sedang disiasat Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), mendapatkan penjelasan Azam dan dikatakan akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki, untuk membeli saham pada 2015.