Pelan Damai Trump bukan tawaran, tapi ancaman – Dr Mahathir

BANGI, 11 RABIULAKHIR – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan 20 perkara dalam Pelan Damai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bukan satu tawaran, sebaliknya ancaman terhadap Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Bekas Perdana Menteri berkata, cadangan itu bukan bertujuan untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin, sebaliknya merupakan satu ancaman.

Katanya, Trump memaksa Hamas menerima cadangan itu dalam tempoh empat hari atau pembunuhan beramai-ramai tidak akan dihentikan, malah akan menjadi lebih buruk.

“Cadangan itu digubal oleh Trump bersama (Perdana Menteri, Benjamin) Netanyahu. Ia boleh diterima oleh Israel kerana disediakan oleh Perdana Menteri mereka.

“Seperti Netanyahu, Trump mahu mengambil alih Gaza. Itu bermakna rakyat Palestin mesti menyerah kalah,” katanya dalam kenyataan di media sosial, hari ini.

Dr Mahathir berkata, jangkaan dua perancang terbabit (Trump dan Netanyahu) untuk Hamas menerima penyerahan sebagai penyelesaian amat mengelirukan.

Menurutnya, lebih 60,000 penduduk Palestin terkorban akibat pengeboman Israel menyebabkan cadangan Trump dan Netanyahu menjadikan nyawa yang terkorban dan kemusnahan menyeluruh Gaza sebagai sia-sia.

“Pengorbanan mereka tidak membawa apa-apa makna,” katanya.

Beliau turut menegaskan Trump bukan pendamai dan menggunakan ancaman tarif tinggi, sekatan dan pelbagai tuntutan untuk memaksa pihak-pihak menghentikan pertempuran.

Bagaimanapun, katanya Presiden Amerika Syarikat gagal kerana pembunuhan dalam peperangan antara Ukraine dan Rusia masih berlaku, begitu juga pembunuhan beramai-ramai Israel di Palestin terus berlaku.

“Saya tidak akan terkejut jika Hamas menolak cadangan itu. Pembunuhan beramai-ramai akan berterusan, dengan lebih kuat lagi dibantu oleh Amerika Syarikat,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Firaun lambang kezaliman, tak sesuai kaitkan dengan ‘jasa’

Next Post

Misi Global Sumud Flotilla contoh semangat persaudaraan tanpa batas – Agong

Related Posts