Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 23 SYAWAL – Kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer tidak bermaksud untuk merendahkan mana-mana kakitangan syarikat itu, kata Kesatuan-Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia.
Kesatuan itu berkata, isu yang menjadi tular di media sosial baru-baru ini berkaitan pertanyaan kepada Brewer daripada seorang kakitangan mengenai pembekalan pakaian seragam baharu adalah sekadar salah faham.
Katanya, Brewer telah mengakui kesilapan tersebut dan kesatuan itu menyeru agar isu itu tidak lagi diperbesarkan lagi.
“Kesatuan telah mendapatkan penjelasan daripada beliau sehari selepas komen tersebut diviralkan.
“Kesatuan memahami bahawa bukan maksud beliau untuk memperlekehkan kakitangan tersebut, cuma terdapat salah faham dan beliau sendiri telah mengakui kesilapan tersebut.
“Kesatuan menyeru agar isu ini tidak lagi diperbesar-besarkan sehingga menimbulkan salah faham terhadap niat sebenar beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila tangkap layar komunikasi seorang posmen dengan Brewer di platform komunikasi dalaman Pos Malaysia.
Menerusi tangkap layar itu, posmen terbabit bertanya mengenai penggantian pakaian seragamnya dengan menyertakan pakaian kakitangan Pos Malaysia yang dipakainya koyak di bahagian bahu.
Kemudian, Brewer mengingatkan individu itu supaya bersyukur kerana bekerja di syarikat penghantaran yang menyediakan pakaian seragam.
Dalam pada itu, kesatuan itu berkata, semua kakitangan telah dimaklumkan bahawa pakaian seragam baharu akan dibekalkan, cuma berlaku kelewatan pada tahun ini disebabkan penambahbaikan dari segi bahan dan kualiti yang digunakan.
Katanya, ia bagi kesesuaian dan keselesaan kakitangan.
“Sebagai penyelesaian sementarai bagi mengatasi kelewatan pakaian seragam, pihak pengurusan operasi akan mengederakan jersi Pos Malaysia kepada anggota kesatuan yang terlibat.
“Proses pengedaran ini akan dilaksanakan secara bersama antara pihak kesatuan dan pengurusan,” ujarnya.
Tambahnya, pihak syarikat juga akan menambah keperluan keselamatan seperti kasut keselamatan dan sarung tangan kepada posmen serahan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi