Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 19 RAMADAN — Syarikat tekstil, Jakel masih menggunakan pendekatan musyawarah selepas rundingan bersama pihak pengurusan kuil belum membuahkan hasil.
Ketua Komunikasi Korporatnya, Aiman Darzuki berkata, Jakel sudah mengadakan rundingan sejak 10 tahun lalu namun belum mendapat persetujuan kuil tersebut, lapor Sinar Harian.
“Perbincangan ini sudah berlangsung lebih 10 tahun dan kita tidak pernah membawa perkara ini ke mahkamah kerana percaya kepada pendekatan harmoni dan situasi menang-menang.
“Tidak ada istilah merobohkan kuil, sebaliknya kita menunggu proses pemindahan dan persetujuan daripada pihak kuil tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media hari ini mengulas bantahan badan bukan kerajaan (NGO) bersama pihak pengurusan kuil.
Katanya, tanah bagi pembangunan masjid itu adalah milik penuh Jakel sejak 2012 bagi tujuan wakaf oleh pengasasnya, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad untuk tujuan pembinaan masjid.
“Jakel sudah memperoleh kelulusan pembangunan pada 2020 dan pelan bangunan pada 2021 untuk pembinaan masjid tiga tingkat dengan tingkat bawah tanah.
“Namun, pembinaan masih ditangguhkan bagi menghormati kedudukan kuil yang masih beroperasi di lokasi tersebut,” katanya.
Aiman berkata Jakel bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih menunggu keputusan pihak pengurusan kuil untuk lokasi pemindahan rumah ibadat itu.
Katanya, majlis pecah tanah yang akan diadakan minggu depan hanyalah sebagai simbolik menggambarkan komitmen Jakel untuk membina masjid.
“Ia diadakan jauh dari lokasi kuil, bukan tanda kami mula bina sekarang. Kami masih tunggu proses pemindahan [kuil] selesai, malah wakil kuil juga dijemput hadir,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi