BANGI, 3 RABIULAKHIR – Dalam satu video yang tular, seorang wanita warga China memperkenalkan Quanzhou di wilayah Fujian sebagai seakan-akan Melaka. Dari lorong kaki lima hingga unsur warisan Peranakan sambil bertutur dalam bahasa Melayu yang fasih.
Reaksi warganet tempatan melahirkan kekaguman dan sedikit tersentak. Bagaimana warga asing yang tidak bermastautin di negara ini mampu berbahasa Melayu seperti ala-ala pengacara stesen televisyen tempatan?
Wanita itu ialah pencipta kandungan dikenali sebagai Latifah Huang. Kandungannya merentas catatan harian, budaya, dan pelancongan mesra Muslim di China dengan keterangan menggunakan bahasa Melayu.
Di halaman Facebook, beliau memperkenalkan dirinya dengan ajakan ringkas: “Jom ikut Latifah terokai apa yang menarik di China–Malaysia.”
Dalam beberapa video, Latifah memaparkan rutin “sehari sebagai wartawan bahasa Melayu di China”, sudah tentu dengan kefasihan yang membuat ramai rakyat Malaysia berasa bangga dan sebahagian lagi berasa malu.
Bangga kerana warga asing fasih berbahasa Melayu dan malu kerana yang dilahirkan, bersekolah dan dibesarkan di Malaysia, masih merangkak-rangkak bertutur bahasa Melayu dengan tahap kefasihan hanya sesuai untuk membeli sayur dan ikan di pasar.
Kisah Latifah Huang bukan sekadar kisah tular. Ini menyentuh persoalan identiti rakyat Malaysia apabila awal tahun ini, sebuah portal berita melaporkan hasil dapatan Pew Research Center bahawa 79 peratus responden Malaysia berpendapat bertutur Bahasa Kebangsaan, iaitu bahasa Melayu sangat penting untuk “benar-benar” menjadi sebahagian daripada Malaysia.
Baki 21 peratus, suatu jumlah yang agak besar pula beranggapan sebaliknya.
Laporan sama yang turut dipetik media arus perdana, menegaskan bahasa sebagai penanda keahlian komuniti politik-budaya negara. Pew Research Center sendiri, melalui siri analisisnya pada tahun lalu dan tahun ini, merumuskan bahawa bahasa dan adat merupakan unsur teras dalam takrif identiti kebangsaan di pelbagai negara.
Namun di Malaysia, jurang keyakinan berbahasa Melayu masih menjadi persoalan utama. Di sektor korporat, bahasa Inggeris terus dilihat sebagai bahasa prestij, manakala bahasa Melayu walaupun berstatus Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan, sering dipinggirkan dalam komunikasi strategik.
Di sisi lain di media sosial, menuturkan bahasa Melayu baku dilihat “terlalu skema”. Latar ini menjadikan kemunculan figura seperti Latifah Huang mematahkan hujah rakyat tempatan yang gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik. Keupayaan penutur warga asing membuktikan bahawa motivasi, pendedahan, serta keperluan komunikasi boleh melahirkan kefasihan yang meyakinkan.
Kisah Latifah Huang memantulkan paradoks kita. Jika 8 daripada 10 rakyat menganggap penguasaan bahasa Melayu penting untuk benar-benar “menjadi Malaysia”, mengapa masih ramai warga tempatan yang dilahirkan, dibesarkan dan bersekolah di sini kurang yakin menuturkan Bahasa Kebangsaan?
Selepas enam dekad merdeka, menyedihkan kerana masih ada 21 peratus rakyat Malaysia yang tidak melihat kepentingan Bahasa Kebangsaan.
Siapa yang hendak dipersalahkan. Adakah persekitaran pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah tidak cukup bagus? Adakah motivasi, pendedahan serta keperluan komunikasi untuk rakyat bertutur bahasa Melayu masih tidak mencukupi?
Bagaimana dengan persoalan sikap memandang mudah kepentingan penguasaan bahasa Melayu? Tanpa ekosistem yang menyokong, angka 79 peratus itu akan kekal sebagai norma aspirasi, bukan realiti harian.
Hasil dapatan Pew Research Center mengingatkan kita bahawa Bahasa Kebangsaan bukan hanya simbol, tetapi mekanisme penyertaan sosial.
Latifah Huang menunjukkan jalan bahawa bahasa ialah jambatan empati. Kefasihan tidak bergantung kepada etnik, pasport atau geografi. Ia lahir daripada kesediaan membaca, mendengar, berlatih serta menghormati khalayak yang disapa.
Apabila seorang anak Fujian fasih berbahasa Melayu, nilai yang ditampilkan bukan sekadar kebolehan dirinya, ia menunjukkan bahawa bahasa Melayu hidup, relevan dan boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja.
Jika benar kita percaya seperti dapatan Pew Research Center bahawa bahasa ialah inti rasa “menjadi Malaysia”, maka tugas seterusnya jelas, biasakan penggunaan, tingkatkan kefasihan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi