Populariti Mekyun, Dr Malar singkap kebesaran bahasa Melayu

BANGI, 17 RABIULAWAL – Fenomena pempengaruh dan personaliti bukan Melayu yang fasih berbahasa Melayu semakin mendapat perhatian di media sosial, sekali gus mencabar persepsi lama bahawa Bahasa Kebangsaan hanya milik satu kaum.

Antara yang menonjol ialah Wee Yun Nee atau lebih dikenali sebagai Mekyun, seorang TikToker yang sering menghasilkan kandungan kreatif dalam bahasa Melayu. 

Kefasihannya bukan hanya memikat ratusan ribu pengikut, tetapi mencetuskan rasa hormat terhadap usahanya mengangkat Bahasa Kebangsaan di platform popular.

Dalam satu video yang tular, Mekyun menjelaskan sebab memilih menggunakan bahasa Melayu dalam kontennya: “Bila kita cakap bahasa yang sama, kita jadi lebih faham dan rapat. Bahasa Melayu ni bukan milik satu kaum, tapi milik satu rakyat Malaysia. Lambang perpaduan dan Bahasa Kebangsaan kita,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa Bahasa Melayu bukan sekadar konten: “Saya cakap Melayu bukan hanya untuk konten. Ia dah jadi sebahagian daripada hidup Mekyun.”

Kenyataannya ketika itu mendapat reaksi hangat netizen. Seorang pengguna TikTok dari Sarawak menulis: “Saya banyak guna bahasa Melayu sebab kawan-kawan semua 1Malaysia. Biar semua faham, bukan kita tak boleh berbahasa Cina.” 

Seorang lagi netizen mencatatkan komen penuh harapan: “Semoga Malaysia hidup aman dari individu-individu rasis tak kira apa bangsa sekali pun.” 

Respon begini memperlihatkan bahawa usaha kecil seorang pempengaruh mampu meninggalkan kesan besar dalam kesedaran masyarakat pelbagai kaum.

Selain pempengaruh media sosial, golongan profesional juga menjadi contoh. Dr Malar Santhi Santherasegapan atau lebih dikenali sebagai Dr Malar, sering muncul di televisyen dan media sosial, menyampaikan mesej kesihatan dalam bahasa Melayu yang jelas dan berkesan.

Gaya percakapan selamba, tetapi profesional menjadikannya dekat dengan khalayak. Dr Malar juga digelar “doktor selebriti” kerana kefasihan berbahasa Melayu membolehkan mesej kesihatan dapat disampaikan dengan mudah dan dihayati masyarakat pelbagai kaum.

Fenomena penguasaan bahasa Melayu juga menonjol di pentas seni. Artis seperti Jestinna Kuan menghasilkan kandungan hiburan dan muzik dalam bahasa Melayu, manakala legenda muzik, Datuk David Arumugam bersama kumpulan Alleycats sudah lama membuktikan bahasa Melayu mampu menyatukan khalayak melalui lagu.

Pelakon Cina Malaysia, Joanne Yew, turut menerima pujian kerana kefasihan berbahasa Melayu dalam lakonannya, menunjukkan bahawa Bahasa Kebangsaan bukan sekadar medium komunikasi, tetapi wadah seni yang merentas batas kaum.

Fenomena ini turut mendapat perhatian Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Beliau berpandangan kekaguman masyarakat terhadap individu bukan Melayu yang fasih Bahasa Kebangsaan adalah tanda bahawa penerimaan bahasa ini masih belum sepenuhnya menyeluruh.

Dalam sebuah negara yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, katanya kefasihan sepatutnya tidak lagi dianggap sesuatu yang `luar biasa’ atau mengejutkan. 

“Ia menunjukkan masih ada ruang untuk memperkukuhkan penerimaan bahasa Melayu sebagai milik bersama,” katanya.

Reaksi positif terhadap Mekyun, Dr Malar dan artis lain membuktikan bahawa pendekatan ini memberi kesan nyata. Ramai yang meninggalkan komen kagum, malah ada yang mengaku terdorong untuk lebih berusaha menggunakan bahasa Melayu dengan baik dalam kehidupan harian.

Fenomena ini secara tidak langsung mencabar stereotaip lama bahawa bahasa Melayu hanya terhad di ruang sekolah atau pentadbiran. Ia kini tampil sebagai bahasa gaya hidup, hiburan dan kesihatan yang mampu menembusi semua lapisan masyarakat.

Kejayaan mereka memberi isyarat jelas bahawa media sosial dan hiburan boleh menjadi ruang efektif memartabatkan Bahasa Kebangsaan. 

Justeru itu, kerjasama antara institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), KITA-UKM, serta pempengaruh pelbagai kaum boleh memperkukuhkan usaha memperluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.

Fenomena ini bukan sekadar soal viral, tetapi mengenai keupayaan bahasa Melayu berperanan sebagai alat perpaduan dalam negara berbilang kaum.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

UEC bom jangka dalam sistem pendidikan negara

Next Post

“Memang kami mahu nyah identiti penjajah di semua tempat” – IDENTITI bidas Aminuddin

Related Posts