BANGI, Rabu – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengingatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng tidak mengambil peranan hakim dalam menentukan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bersalah atau tidak dalam mengeluarkan kenyataan berhubung pensijilan halal baru-baru ini.
Justeru, Ketua Penerangan PERKASA, Irwan Fahmi Ideris menggesa supaya Guan Eng tidak melangkaui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memberi ruang kepada pihak berkuasa melaksanakan siasatan secara adil.
“Yang boleh menentukan siapa bersalah atau pun tidak adalah mahkamah. Jangan cuba jadi hero dalam mengambil alih tugas dan peranan mahkamah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kenyataan Teresa berhubung pensijilan halal tidak menyentuh kaum, agama dan raja (3R) sebaliknya naib presiden DAP itu hanya menjalankan tugasnya sebagai seorang ahli parlimen.
Teresa sebelum itu memberi keterangan selama 90 minit di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di Bukit Aman.
Dalam pada itu, PERKASA menyarankan semua pemimpin kerajaan menumpukan kepada masalah kehidupan rakyat seperti kos sara hidup dan peluang pekerjaan berbanding mempertikaikan kontrak sosial yang selama ini diamalkan seluruh rakyat Malaysia.
“Jangan cuba jadi hero menganggu perasaan orang Melayu dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.
“Lebih-lebih lagi melibatkan isu bangsa dan agama terutama mereka yang bukan beragama Islam,” katanya sambil menambah urusan Islam sewajarnya ditentukan oleh umat ini sendiri.
#TvPertiwi
Kenapa perlu bayar lebih, IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DENGAN KAMI Di TV Pertiwi.
Klik : http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi