WASHINGTON, 4 RABIULAWAL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan Jabatan Kehakiman menyiasat dan mendakwa individu yang membakar bendera AS, suatu tindakan yang sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Agung sebagai luahan perasaan politik yang sah mengikut Perlembagaan.
Perintah yang ditandatangani oleh Presiden Republikan di Rumah Putih mengakui keputusan mahkamah 5-4 dalam satu kes di Texas pada 1989, tetapi menyatakan masih ada ruang untuk mendakwa perbuatan membakar bendera jika ia “berkemungkinan mencetuskan tindakan haram secara serta-merta” atau jatuh dalam kategori “kata-kata provokatif.”
“Kalau anda bakar bendera, anda akan dipenjara setahun. Bukan 10 tahun, bukan sebulan,” kata Trump. “Anda akan dipenjara setahun, ia direkodkan dalam rekod anda, dan anda akan lihat pembakaran bendera akan terus berhenti serta-merta.”
Perintah itu turut mengarahkan Peguam Negara, Pam Bondi, mengambil tindakan undang-undang mencabar keputusan mahkamah pada 1989, sebagai usaha Trump membawa isu ini semula ke Mahkamah Agung yang kini jauh lebih konservatif, berbanding 1989, dengan tiga hakim dilantik oleh Trump dalam penggal pertamanya.
Aktivis kebebasan sivil dan sarjana perlembagaan, mempersoalkan kesahihan dan kewajaran tindakan Trump. Seorang peguam dari kumpulan kebebasan bersuara berkata, Trump tidak mempunyai kuasa untuk menulis semula Pindaan Pertama.
“Walaupun seseorang boleh didakwa kerana menyalakan api di tempat yang tidak dibenarkan, kerajaan tidak boleh mendakwa aktiviti luahan perasaan yang dilindungi walaupun ramai rakyat AS, termasuk presiden, menganggapnya ‘sangat menyinggung dan provokatif’,” kata Bob Corn-Revere, ketua peguam di Foundation for Individual Rights and Expression.
Dalam kes 1989, hakim dalam keputusan 5-4 menyatakan Pindaan Pertama melindungi pembakaran bendera sebagai luahan perasaan politik yang sah. Trump menyifatkan keputusan pada 1989 sebagai “mahkamah yang sangat menyedihkan.”
Trump berkata, pembakaran bendera AS “mencetuskan rusuhan pada tahap yang tidak pernah kita lihat sebelum ini,” apabila ada yang “naik hantu” melihatnya dibakar, manakala ada yang marah terhadap mereka yang melakukannya. Namun beliau tidak memberikan contoh khusus.
Fakta ringkas Rumah Putih menyebut protes baru-baru ini, termasuk di Los Angeles pada Jun lalu apabila bendera dibakar “bersama tindakan ganas lain dan tingkah laku yang mengancam keselamatan awam.”
“Di seluruh negara mereka bakar bendera. Di seluruh dunia, mereka bakar bendera AS,” kata Trump.
Perintah eksekutif itu menyatakan bahawa mencemarkan bendera AS adalah “sangat menyinggung dan provokatif. Ia adalah kenyataan kebencian, permusuhan, dan keganasan terhadap negara kita, ekspresi yang paling jelas mengenai penentangan terhadap kesatuan politik yang menjaga hak, kebebasan, dan keselamatan kita. Membakar lambang Amerika ini boleh mencetuskan keganasan dan rusuhan.”
Perintah itu mengarahkan Peguam Negara memberi keutamaan penguatkuasaan “sepenuhnya” undang-undang jenayah dan sivil terhadap pembakaran bendera yang menimbulkan mudarat yang tidak berkaitan dengan jaminan kebebasan bersuara dalam Pindaan Pertama.
“Terima kasih kerana melindungi bendera AS dan kita akan lakukan itu tanpa melanggar Pindaan Pertama juga,” kata Bondi kepada presiden.
Warga asing pula berdepan risiko pembatalan visa, permit kediaman, proses naturalisasi serta manfaat imigresen lain, menurut perintah itu. Mereka juga boleh diusir.
Isu pembakaran bendera sudah lama menghantui Trump. Selepas dipilih sebagai presiden pada November 2016, Trump berkata “mesti ada akibat” kepada sesiapa yang membakar bendera AS seperti hukuman penjara atau kehilangan kewarganegaraan.
“Tiada siapa patut dibenarkan membakar bendera AS. Jika mereka lakukannya, mesti ada akibat, mungkin kehilangan kewarganegaraan atau penjara setahun!” tulis Trump di Twitter ketika itu.
Perlembagaan melarang kerajaan daripada melucutkan kewarganegaraan rakyat Amerika yang lahir di negara itu. — AP
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi