Ribuan rumah lenyap di Bandar Gaza, keluarga Palestin terpaksa lari tanpa arah

GAZA 4 RABIULAWAL – Rejim Israel terus menggila apabila melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Bandar Gaza, memusnahkan ribuan kediaman dan memaksa ratusan ribu rakyat Palestin meninggalkan tanah air mereka sendiri.

Menurut Pertahanan Awam Palestin, lebih 1,000 bangunan di kawasan Zeitoun dan Sabra telah dimusnahkan sejak serangan berterusan bermula pada 6 Ogos lalu. 

Pusat bandar terbesar di Gaza itu kini hampir lumpuh, dipenuhi runtuhan dan jasad syuhada yang gugur.

Serangan terbaharu di sebuah pasar terkenal di timur Bandar Gaza pada Selasa lalu meragut sekurang-kurangnya lima nyawa rakyat Palestin, termasuk dua wanita, selain mencederakan ramai lagi. Hospital al-Ahli Arab mengesahkan angka korban tersebut.

Rakaman yang disahkan media antarabangsa menunjukkan ribuan penduduk Palestin dari kawasan as-Saftawi melarikan diri ke arah selatan selepas dipaksa oleh tentera Israel. 

Hampir sejuta penduduk kini diarahkan berpindah ke zon penempatan paksa ciptaan Zionis.

Suasana itu amat memilukan. Lelaki, wanita dan anak-anak kecil berjalan di jalanan berdebu yang dipenuhi runtuhan, ada yang membawa tilam dan selimut, ada menolak troli berisi barangan, manakala yang lain memimpin erat tangan anak-anak mereka.

Seorang penulis dan penduduk tempatan, Sara Awad, meluahkan tekanan yang dihadapi apabila dipaksa memilih antara terus bertahan di rumah di bawah serangan udara atau sekali lagi menjadi pelarian.

“Setiap hari saya tertanya, mengapa saya harus lari dan hidup di khemah, sedangkan rumah saya masih di sini? Tidak masuk akal meninggalkan tanah sendiri sedangkan mereka memperlakukan kami bukan sebagai manusia,” katanya.

Namun, Awad turut mengakui bahawa rakyat Palestin kini seakan sedang “mengharungi hari-hari terakhir mereka di Bandar Gaza”.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pemimpin jangan lembik, Jalur Gemilang mesti dipertahankan tanpa kompromi

Next Post

Trump ancam penjara setahun jika bakar bendera AS

Related Posts