Israel sekat air Gaza, 1.2 juta penduduk diancam kehausan

Selepas menjerumuskan rakyat Palestin ke ambang kebuluran, rejim pengganas Israel kini menggunakan air sebagai senjata perang, dengan menyekat bekalan ke Gaza untuk memaksa lebih 1.2 juta penduduk meninggalkan Gaza City.

Kemusnahan sistem air di wilayah terkepung itu amat kritikal apabila 56 telaga musnah dibedil, manakala loji penyahgaraman utama tidak berfungsi sejak perang bermula. Kini, lebih 70 peratus bekalan hanya bergantung pada paip Mekorot yang sepenuhnya dikawal Israel.

Jurucakap Majlis Perbandaran Gaza, Hosni Mhanna berkata, purata bekalan air bagi setiap penduduk hanya tinggal lima liter sehari – jauh lebih rendah berbanding piawaian minimum antarabangsa iaitu 100 liter.

“Ini mendedahkan lebih sejuta penduduk kepada ancaman penyakit dan kematian akibat kehausan. Sebarang pemotongan tambahan akan menyebabkan keruntuhan total sistem air Gaza, meninggalkan ratusan ribu keluarga tanpa sumber minimum untuk hidup,” tegasnya sambil mendesak PBB dan Palang Merah segera campur tangan.

Dalam masa sama, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mengesahkan operasi baharu dinamakan “Gideon’s Chariots 2” akan dilancarkan untuk menawan Gaza City dan mengusir penduduknya.

Kementerian Dalam Negeri Gaza menyifatkan langkah itu sebagai “hukuman mati” serta pengusiran besar-besaran, dan mendesak komuniti antarabangsa segera bertindak.

Awal bulan ini, Kabinet Keselamatan Israel turut meluluskan pelan penjajahan semula Gaza secara berperingkat, bermula dengan pemindahan lebih 800,000 penduduk ke zon yang digelar “kawasan kemanusiaan,” lengkap dengan khemah sementara, hospital medan dan kemudahan asas.

Sejak Oktober 2023, lebih 62,100 rakyat Palestin dibunuh tentera Israel di Gaza. November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan.

Israel juga kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangan kejamnya ke atas Gaza.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel mula gempur pinggir Bandar Gaza

Next Post

Enam pelajar Tingkatan Empat buli junior dibebaskan dengan jaminan polis

Related Posts