Israel mula gempur pinggir Bandar Gaza

BAITULMAQDIS, 2 RABIULAWAL – Pesawat dan kereta kebal Israel membedil kawasan timur dan utara pinggir Bandar Gaza mulai malam Sabtu hingga Ahad, memusnahkan bangunan serta rumah penduduk, ketika pemimpin Israel mempamerkan keangkuhan meneruskan serangan ke atas bandar itu.

Penduduk bandar itu melaporkan bunyi letupan tanpa henti sepanjang malam di kawasan Zeitoun dan Shejaia, manakala kereta kebal membedil rumah serta jalan di kejiranan Sabra berhampiran dan beberapa bangunan diletupkan di bandar utara, Jabalia.

Api menerangi langit dari arah letupan, menimbulkan panik dan mendorong sebahagian keluarga meninggalkan bandar itu. Namun sebahagian penduduk Palestin berkata, mereka lebih rela mati daripada meninggalkan rumah.

Semalam, tentera Israel berkata, pasukannya kembali beroperasi di kawasan Jabalia sejak beberapa hari lalu untuk memusnahkan terowong pejuang Palestin dan mengukuhkan kawalan.

Menurutnya, operasi itu membolehkan perluasan pertempuran ke kawasan lain dan menghalang pejuang Hamas daripada kembali beroperasi di kawasan berkenaan.

Israel bulan ini, meluluskan rancangan untuk menawan Bandar Gaza yang digambarkan sebagai kubu terakhir pejuang Hamas. Ia dijangka hanya bermula dalam beberapa minggu lagi, memberi ruang kepada perantara Mesir dan Qatar mencuba menyambung rundingan gencatan senjata.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, semalam berikrar untuk meneruskan serangan ke atas bandar yang kini diisytiharkan dilanda kebuluran itu, sekali gus mencetuskan kebimbangan antarabangsa dan bantahan di dalam negara.

Katz dengan angkuh berkata, Gaza City akan diratakan jika Hamas tidak bersetuju menamatkan perang mengikut syaratr Israel serta membebaskan semua tebusan.

Hamas dalam kenyataan semalam, menyatakan rancangan Israel untuk menawan Bandar Gaza City menunjukkan rejim Zionis tidak serius mengenai gencatan senjata.

Menurut Hamas, perjanjian gencatan senjata adalah satu-satunya cara untuk memulangkan tebusan, sambil menuding Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bertanggungjawab terhadap nyawa mereka.

Cadangan yang sedang dibincangkan ialah gencatan senjata 60 hari dan pembebasan 10 tebusan masih hidup yang ditahan di Gaza serta 18 mayat. Sebagai balasan, Israel akan membebaskan kira-kira 200 tahanan Palestin yang lama dipenjarakan.

Khamis lalu, Netanyahu berkata, Israel akan segera menyambung rundingan untuk pembebasan semua 50 tebusan yang Israel percaya sekitar 20 masih hidup dan menamatkan perang hampir dua tahun itu, tetapi hanya berdasarkan syarat yang boleh diterima oleh Israel.

Kira-kira separuh daripada dua juta penduduk Semenanjung Gaza tinggal di Bandar Gaza. Beberapa ribu penduduk telah meninggalkan bandar, membawa barang keperluan dengan kenderaan dan kenderaan lain.

“Saya berhenti mengira berapa kali saya terpaksa membawa isteri dan tiga anak perempuan keluar dari rumah kami di Bandar Gaza,” kata Mohammad, 40, melalui aplikasi sembang. “Tiada tempat yang selamat, tetapi saya tidak boleh ambil risiko. Jika mereka tiba-tiba mula menyerang, mereka akan guna tembakan berat.”

Namun ada yang tetap enggan meninggalkan rumah walau apa pun terjadi.

“Kami tidak akan pergi, biar mereka bom kami di rumah,” kata Aya, 31, yang mempunyai keluarga seramai lapan orang. Katanya, mereka tidak mampu membeli khemah atau membayar pengangkutan walaupun mahu keluar. “Kami lapar, bimbang dan tidak ada wang.”

Badan pemantau kelaparan global pada Jumaat lalu menyatakan Bandar Gaza dan kawasan sekitar secara rasmi mengalami kebuluran yang dijangka merebak. Israel menolak penilaian itu dengan alasan ia mengabaikan langkah yang diambil sejak akhir Julai untuk menambah penghantaran bantuan.

Semalam, Kementerian Kesihatan Gaza berkata lapan lagi orang meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan kebuluran, menjadikan jumlah korban akibat punca itu kepada 289 orang, termasuk 115 kanak-kanak, sejak perang bermula. Israel menolak angka korban yang diumumkan kementerian kesihatan di wilayah yang ditadbir Hamas itu. – REUTERS

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kereta bertembung pikap: Tiga maut di Rompin

Next Post

Israel sekat air Gaza, 1.2 juta penduduk diancam kehausan

Related Posts