Oleh Wartawan TV Pertiwi
29 Jamadil Akhir — Keganasan tentera penjajah Israel (IOF) semasa menyerbu Hospital Kamal Adwan di utara Gaza Jumaat lalu masih segar dalam ingatan.
Pesakit, Izzat Al-Aswad berkata tentera IOF memaksa kaum lelaki menanggalkan pakaian sebelum diarah meninggalkan hospital, lapor Al-Jazeera.
“Mereka memukul saya dan lelaki lain. Mereka memukul pesakit di bahagian yang sedang dirawat.
“Hospital dan kawasan laman dibom tanpa henti siang dan malam menjadi kebiasaan.
“Dron pula menembak mangsa yang berkeliaran di kawasan laman. Mereka menyasarkan penjana dan tangki air,” katanya.
Izzat berkata malam sebelum serangan Israel menyerang bangunan hospital dengan kira-kira 50 pesakit berada di dalamnya.
Katanya, ketika kejadian tiada siapa datang memberikan bantuan termasuk jururawat yang terperangkap.
“Kaum lelaki kemudiannya terpaksa dua jam berjalan kaki menuju laluan yang ditetapkan IOF.
“Kami kemudian diminta memberikan nama dan diambil gambar dengan dada dan leher ditandakan nombor sebagai bukti sudah diperiksa.
“IOF mengarahkan kami menuju ke barat bandar Gaza dan melarang kami kembali sehinggalah kami menerima bantuan selepas melalui runtuhan dalam cuaca sejuk,” katanya.
Sementara itu, jururawat Hospital Kamal Adwan, Shorouq Al-Rantisi berkata kaum wanita juga diarahkan menggunakan laluan sama meninggalkan hospital.
Katanya, mereka terpaksa menunggu beberapa jam dalam keadaan sejuk sambil mendengar kaum lelaki dipukul.
“IOF menarik kepala wanita dan menjerit meminta kami menanggal tudung. Mereka yang enggan akan dipukul.
“IOF menarik kepala saya dan meminta saya membuka pakaian dan kemudian memeriksa pengenalan saya.
“Bagaimana kami mahu meninggalkan hospital dan pesakit? Tiada siapa yang mahu pergi sebelum dipaksa,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI